Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sarapan percuma dah dibuat sejak 1979 lagi - Najib
Diterbitkan:  Nov 7, 2018 1:16 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir Maszlee Malik yang mahu mengkaji skim sarapan percuma berkhasiat untuk anak-anak daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Kata Najib, Malaysia sudah lama mempunyai skim serupa.

"Orang kata jauh perjalanan, luas pemandangan. Mungkin hasil berjalan sampai ke Jepun inilah dia boleh terfikir idea bernas ini.

"Tapi sebab terlalu hebat mengkaji, beliau terlepas pandang bahawa Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ini sejak tahun 1979 lagi dah Kementerian Pendidikan sediakan.

"Kita beri RM2.50 seorang sehari untuk Semenanjung Malaysia dan RM3.00 seorang sehari untuk pelajar di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.


Baca: Di mana 'salah' Najib? Ini penjelasan pegawai Maszlee


Maszlee kini berada di Jepun bagi mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Negara Matahari Terbit.

Maszlee berkata, kajian berkenaan merupakan hasil lawatan beliau ke sekolah awam Itabashi Daiichi Elementary School di Tokyo.

Mengulas lanjut, Najib yang juga anggota parlimen Pekan juga berkata kerajaan HARAPAN sendiri sudah potong peruntukan untuk RMT dalam Belanjawan 2019.

Najib justeru menyindir Maszlee mungkin terlalu sibuk perihal warna pakaian seragam pelajar hingga tidak sedar apa yang dilakukan kerajaan.

"Tak payah ke Jepun nak tahu atau belajar perkara macam ini.

"Tidak perlu 'pandang ke Timur'. Lebihkan masa memahami operasi kementerian.

"Agak-agak beliau nak kaji apa lagi lepas ini?” soalnya.

Lihat Komen
ADS