Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PEMILIHAN PKR | Jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR menolak kira-kira 90 peratus daripada 7,500 undi ragu dari tujuh negeri setakat ini, kata timbalan pengerusinya, Adzman Hedra.

Adzman berkata, JPP ditugaskan untuk mengesahkan kira-kira 10,000 hingga 12,000 undi ragu yang direkodkan sepanjang pemilihan PKR dan dijangka selesai Khamis ini.

"Ada sedikit perubahan (dengan keputusan akhir) kerana kami ada banyak Borang 11 pengundi ragu.

"Borang 11 ini adalah untuk pengundi yang keluar mengundi namun identiti mereka diragukan. Jadi mereka perlu isi borang," katanya kepada pemberita di parlimen selepas mesyuarat biro politik PKR.

Beliau turut mendakwa bahawa terdapat pemimpin PKR yang bertanding yang mempunyai "persepsi yang salah" berhubung kenyataan JPP sehingga ada individu yang namanya tidak dapat dikesan di pusat pengundian masih mengundi menggunakan Borang 11.

"Mereka memobilisasi semua orang. Tidak kira sama ada orang itu anggota parti atau tidak, mereka memobilisasi sesiapa saja yang hadir menunjukkan kad pengenalan dan kemudian mengundi.

"Ketika kita (JPP) semak, 90 peratus bukan anggota parti. Jika anda bukan anggota parti, anda boleh mengundi, tapi ia tidak akan diambil kira," tegasnya.

Adzman turut menafikan dakwaan calon ketua Pemuda PKR Akmal Nasir sebelum ini berhubung undi hilang terutamanya di Sabah yang disifatkan sebagai dilakukan "secara terancang dan sistematik" bagi menjejaskan undi kepada Rafizi Ramli yang bertanding jawatan timbalan presiden.

"Ini demokrasi. Terpulang kepada mereka (anggota parti). Kami tak percaya undi hilang sebab bila kita semak pangkalan data, tiada data yang hilang.

"Bagi kami, cara pengiraan mereka itu tidak betul," tegasnya.

Mengulas lanjut, Adzman berkata JPP percaya terdapat banyak contoh, terutama di kawasan luar bandar, di mana undi bukan untuk calon timbalan presiden atau pemimpin pusat.

"Terutamanya di kawasan yang mana ketua cabang bawa keluar pengundi.

"Ramai anggota parti seperti ini hanya kenal ketua cabang yang bawa dia keluar saja. Bagi kami mereka memang tidak mengundi timbalan presiden," katanya.

Adzman berkata, pada mesyuarat yang diadakan malam ini antara JPP dan biro politik PKR, mereka mengesahkan pendirian bahawa tiada pemilihan semula di Julau kerana mendapati tiada data yang diceroboh.

 

 

 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS