Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Edi Rejang bukan biskut, boleh disorok-sorok - peguam

Peguam yang mewakili Edi Rejang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, menafikan beliau menyorok anak guamnya seperti yang didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, Khairul berkata, beliau kini tidak bersama dengan Edi Rejang atau nama sebenarnya Mohamad Edi Mohamad Riyars kerana berada di Pulau Pinang.

“Macam mana saya nak menyorok seorang manusia, maksudnya soalan itu tak relevan. Sebab manusia bukan botol air mineral, biskut yang boleh disorok-sorok.

“(Jadi) saya nafikan, bila masa sorokkan dia? Dia pun tak bersama dengan saya… Keluarga dia tak ada buat laporan polis, (untuk kata) dia hilang,” katanya secara acuh tak acuh ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, DAP berkata Edi Rejang “hilang” selepas tidak muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya meskipun temu janji telah dibuat bersama peguam parti tersebut.

Sebaliknya, pegawai penyiasat kes tersebut memaklumkan kepada peguam DAP K A Ramu bahawa Edi Rejang sudah merakam kenyataan lebih awal bersama seorang peguam Melayu.

Mengulas perkara itu, Khairul berkata tindakan Edi Rejang tidak memilih peguam DAP adalah keputusannya sendiri.

Katanya, Edi Rejang telah menghubunginya dan inginkan beliau mewakilinya dalam kes berkenaan.

“Dia (Edi Rejang) yang hubungi saya untuk wakili beliau,” katanya.

Hari ini Malaysiakini melaporkan, Anggota Parlimen DAP Lim Lip Eng mendedahkan pihaknya dihubungi oleh ahli perniagaan Cina yang menawarkan bantuan untuk membantu Edi Rejang dari segi kewangan dan pekerjaaan.

Ia selepas syarikat tempat Edi Rejang bekerja, RAH Properties Berhad telah membuangnya susulan tindakan beliau yang memaki hamun promoter wanita di sebuah pusat membeli belah.

Mengulas lanjut, Khairul berkata DAP boleh menghubunginya berkaitan tawaran berkenaan.

“Saya peguam Edi Rejang, berhubung lah dengan saya. Suruh DAP berhubung dengan saya, kamu telefon saya, saya angkat je, tak ada masalah pun.

“DAP tak ada hubungi saya, bagi nombor telefon saya pada mereka,” katanya.

Lim bagaimanapun memberitahu Malaysiakini mereka tidak berminat untuk berhubung dengan Azam.

“Kami tidak mahu berhubung dengan dia (Azam). Mulai saat ini, biar dia berurusan dengan anak guamnya sendiri,” katanya.

Untuk rekod, Khairul merupakan peguam yang mewakili kes seorang pengganggur yang mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, sehingga mencetuskan isu perkauman tiga tahun lepas.

Pada 24 Mei 2016, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Tertuduh membayar denda itu.

Kes berkenaan dibawa ke mahkamah Rayuan. Bagaimanapun, Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan penganggur berkenaan.


Berita berkaitan:

Ramai pihak mahu bantu Edi Rejang tapi dia 'hilang' – MP

DAP sedia peguam iring Eddy Rejang ke balai polis

Lelaki buli promoter wanita hilang kerja

Lelaki buli promoter bir menyesal dan mohon maaf


Lihat Komen
ADS