Parlimen Malaysia hari ini menafikan dakwaan melarang sami Hindu, Ramaji masuk ke parlimen pada 22 Nov lalu kerana memakai pakaian `Kaavi' semata-mata.

Sebaliknya, parlimen Malaysia menjelaskan bahawa larangan itu merujuk pemakaian seluar jeans dan selipar oleh individu lain yang hadir bersama Ramaji.

"Parlimen Malaysia ingin menegaskan bahawa larangan kemasukan ke atas tetamu-tetamu ini bukanlah merujuk kepada pakaian `Kaavi' semata-mata seperti yang didakwa namun ia berikutan pemakaian seluar jeans dan selipar oleh tetamu-tetamu lain yang bersama-sama beliau (Ramaji) serta mengambil kira persetujuan pihak Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk berjumpa mereka di luar bangunan Parlimen Malaysia.," kata kenyataan media parlimen Malaysia hari ini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan dakwaan Ramaji bahawa beliau dihalang memasuki parlimen kerana berpakaian agama Hindu.

Ramaji, yang juga Pengerusi Badan Bertindak Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman mendakwa dihalang masuk kira-kira jam 5.50 petang pada 22 Nov itu.

Ramaji hadir di kawasan parlimen pada hari itu kerana ingin menghadiri perjumpaan bersama Menteri Perpaduan, P Waythamoorthy berhubung isu kuil.

Jelas kenyataan parlimen Malaysia,  wakil pihak kuil yang tiba sebelum Ramaji dibenarkan masuk tanpa sebarang masalah. 

Sementara Ramaji dan rombongannya ditahan pihak keselamatan untuk mendapatkan pengesahan.

"Wakil pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kemudian) telah hadir ke pintu masuk utama parlimen Malaysia dan pihak keselamatan telah dimaklumkan bahawa mereka adalah tambahan kepada senarai asal," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa parlimen Malaysia sentiasa peka berkaitan sensitiviti keagamaan, namun perlu mematuhi kod etika berpakaian.

"Parlimen Malaysia juga ingin menegaskan bahawa secara umum setiap pelawat yang ingin memasuki bangunan parlimen Malaysia haruslah sentiasa mematuhi kod etika berpakaian yang telah ditetapkan," katanya.

Kod etika berpakaian yang dimaksudkan boleh dirujuk di portal rasmi Parlimen Malaysia, www.parlimen.gov.my.