Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman berkata pihaknya berdoa agar anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah semalam, akan selamat dan segera sembuh.

"Kami amat kesal dengan serangan itu dan berdoa agar beliau segera sembuh.

"Kami telah jelaskan pendirian dan kekecohan yang berlaku awal pagi tadi kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. Beliau memahami situasi kami," katanya yang dikenali sebagai Ramaji dalam sidang media di kuil itu.

"Kami kesal dengan apa yang berlaku dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya lagi.

Sementara itu, Ramaji berkata acara doa khas untuk pihak yang tercedera akibat rusuhan di kuil akan diadakan pada jam 8 malam ini.

Beliau juga berkata pihak kuil merancang untuk melawat Muhammad Adib yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Pemuda berusia 24 tahun itu dilaporkan ditarik keluar daripada kenderaan bomba sebelum dipukul perusuh. Beliau mengalami kecederaan dalaman dan patah tulang rusuk.


Baca: Adib masih hidup, bomba nafi khabar tular di media sosial


Ramaji bagaimanapun berkata Badan Bertindak Selamatkan Kuil Seafield akan terus mempertahankan kuil itu yang dikatakan telah wujud sejak 146 tahun lalu.

"Dulu masih ada ruang perbincangan. Tetapi serangan oleh syarikat pemaju terhadap kami awal pagi semalam telah menutup ruang itu.

"Kami nak kuil ini kekal di sini, itu saja," katanya lagi.

Tapaknya dibeli oleh One City Development Bhd pada 2007. Kuil itu sepatutnya dipindahkan pada 22 November lalu.

Pada 2014, One City dan dua pihak yang mahu menguruskan kuil itu mencapai persetujuan di mahkamah untuk memindahkannya di tapak kira-kira 3 kilometer dari kuil itu.

One City turut menyumbang RM1.5 juta kepada pihak kuil.

Namun terdapat sebahagian penganut Hindu yang menentang pemindahan itu.