Kerajaan Selangor menyerahkan soal pemberian wang berjumlah RM150,000 sebagai upah untuk sekumpulan lelaki untuk menceroboh Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kepada pihak polis.

Exco kerajaan negeri V Ganabatirau berkata pihak berkuasa perlu diberi kepercayaan untuk menyiasat dakwaan itu dan mengambil tindakan selanjutnya.

"Hal seperti (pemberian wang) ini biarlah polis yang membuat siasatan terperinci. Jika kita memberi jawapan (atau ulasan) ia akan jadi 'perbicaraan di media'.

"(Pendedahan) Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mungkin kerana beliau mempunyai maklumat mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita di DUN Selangor hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin hari ini bahawa peguam syarikat pemaju One City memberikan wang itu kepada sekumpulan lelaki untuk menceroboh dan seterusnya mengawal kuil tersebut sehingga ketibaan polis dan pihak pemaju, pada pagi 26 November lalu.

Muhyiddin berkata ia berdasarkan siasatan polis yang mendapati wang itu diberikan oleh One City melalui peguam mereka.

Sementara itu, beliau memaklumkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan mengumumkan keputusan berhubung isu pertikaian tanah di kuil itu, termasuklah nasib pemaju.

"Keputusan akhir akan dibuat pada pukul satu tengah hari...Untuk menyelesaikan isu ini secara muktamad," katanya lagi.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata kuil berusia lebih seratus tahun itu tidak akan dirobohkan sehinggalah penyelesaian muktamad dicapai.