Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan lupa yang sudah lama berjuang, kata Wan Azizah

Di saat rancak menerima wakil rakyat daripada pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan agar Pakatan Harapan (PH) jangan sesekali melupakan mereka yang sekian lama berjuang melawan BN.

Wan Azizah yang merupakan presiden PH berkata memang sudah menjadi kebiasaan untuk PH didekati ramai pihak apabila menjadi kerajaan selepas PRU ke-14.

"Namun kita juga (perlu) memikirkan perjuangan ini mestilah atas nilai dan prinsip. Bukan kerana kita sudah menang, semua orang boleh sertai (PH).

"Tetapi kita mesti tengoklah, dulu kita (orang lama) berjuang, bersusah-payah. Kita juga memikirkan mereka, yang tak dapat apa-apa (jawatan) tentulah kita kena jaga," katanya kepada pemberita di Karnival Maulidur Rasul di Masjid Nurussa'adah, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas sebilangan wakil rakyat dan pemimpin Umno yang menyertai Bersatu baru-baru ini.

Mereka adalah Anggota Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali dan empat senator iaitu Khairudin ES Abdul Samad, Aknan Ehtook, Suhaimi Abdullah dan Isa Abdul Hamid.

Sebelum ini seudah beberapa wakil rakyat menyertai parti itu, dengan yang paling menjadi perhatian adalah Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed.

Pada 26 November lalu, PKR Johor melahirkan kekesalannya berhubung keputusan Bersatu untuk menerima tiga wakil rakyat negeri itu yang baru-baru ini keluar daripada Umno.

Wan Azizah bagaimanapun tidak menganggap ia sebagai pengkhianatan kepada mandat rakyat - seperti dikatakan sesetengah pihak - memandangkan wakil rakyat itu juga dipilih dalam pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas tentang tindakan beberapa syarikat, antaranya Media Prima Sdn Bhd dan Utusan Melayu Berhad yang memberhentikan pekerja selepas mencatatkan kerugian.

Katanya, perkara itu sukar dielakkan memandangkan keadaan ekonomi semasa yang sedikit merosot tetapi kerajaan akan cuba mencari jalan bagi membantu mereka yang terkesan.

"(Ekonomi) memang mengalami sedikit penurunan...Jadi sekreang ini mereka menjadi mangsa, perusahaan terpaksa dikecilkan untuk kelangsungan syarikat (keep afloat).

"Kita akan cuba lihat bagaimana untuk menolong mereka yang terkesan walaupun ada kekangan. Sebab itu kita ada program-program seperti Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri)," katanya lagi.


Lihat Komen
ADS