Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa supaya Laporan 100 hari pentadbiran kerajaan yang disediakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) didedahkan kepada umum.

Ia penting bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat yang jelas tentang perjalanan pentadbiran negara.

"Laporan CEP perlu didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat mengetahui dan menelaah (laporan itu)," kata Lim yang juga MP Iskandar Puteri ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program bual bicara 'Malaysia Baharu, Politik Lama' di Universiti Malaya (UM) pagi tadi.

Turut serta pada program itu Pakar Ekonomi, Profesor Jomo Kwame Sundaram dan Edmund Terence Gomez serta bekas ketua pegawai operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Idea), Tricia Yeoh.

Pada 27 Ogos lalu, Jomo yang juga anggota CEP berkata laporan 100 hari pentadbiran kerajaan yang disediakan badan itu tidak perlu didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, CEP tiada niat untuk mendedahkannya kepada umum kerana tanggungjawab mereka menyerahkan laporan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.


BACA: Jomo jawab kritikan pada CEP


Pada 24 September lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim turut membuat gesaan serupa meminta laporan CEP dibuka untuk penelitian awam.

"Kerajaan perlu mendedahkan kepada orang ramai laporan CEP, terutamanya kerana keseluruhan idea yang mendorong penubuhan CEP adalah untuk melihat masalah dan cabaran negara selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

"Dan kerajaan sekarang wujud hari ini disebabkan orang ramai ingin tahu (tentang masalah itu)," katanya