Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri S'pura: Kapal Malaysia jangan ceroboh perairan kami
Diterbitkan:  Dec 7, 2018 10:04 PM
Dikemaskini: Dec 8, 2018 1:10 AM

Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen memberi amaran supaya kapal-kapal Malaysia supaya tidak menceroboh perairan republik itu.

Ng mendakwa "kapal-kapal kerajaan Malaysia" berterusan "menceroboh" perairan di Tuas sejak bulan November lalu.

"Ini pelanggaran serius kedaulatan Singapura. Pasukan keselamatan kami bertindak dengan penuh hati-hati walaupun berterusan menghadapi pencerobohan dan provokasi.

"Warga Singapura cintakan kedamaian, tetapi saya memberi amaran keras terhadap pihak yang melakukan pelanggaran supaya meninggalkan perairan Singapura," tulisnya pada hantaran Facebook hari ini.

Hantaran Facebook tersebut disertakan sebuah klip video sebuah kapal Singapura, RSS Independence memberi amaran kepada kapal Jabatan Laut Malaysia.

Klip video itu memaparkan kapal milik pasukan Polis Pengawal Pantai (PCG) republik berkenaan memberi amaran kepada kapal yang tidak dikenal pasti.

Perairan di Tuas

Video itu berakhir dengan rakaman kapal pertahanan perairan RSS Independence dan petikan kata Singapura tidak akan teragak-agak mengambil "tindakan tegas" terhadap pencerobohan.

Singapura menuduh Malaysia mengubah sempadan Pelabuhan Johor Bahru dengan cara menceroboh perairan di Tuas dan terdapat 14 pencerobohan setakat ini.

Dalam nota bantahan ke Putrajaya, Singapura meminta supaya Malaysia meminda 'Pemberitahuan Warta PC 88/2018 dan NtM 164/2018' untuk mencerminkan kedaulatan Singapura ke atas perairan yang dipersoalkan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan sedemikian.

 

Lihat Komen
ADS