'Mahathir tu bukan Melayu ke? Bukan Islam?'
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melihat kenyataan diucapkan pemimpin pembangkang sewaktu perhimpunan membantah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) semalam sebagai politik bahaya kerana didakwa berbaur perkauman.
Bagaimanapun, Lim berkata, kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggunakan sentimen yang sama, sebaliknya akan memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.
"Itu sesuatu yang tidak sihat sama sekali seperti mereka lupa Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad tu bukan Melayu ke? Bukan Islam? Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bukan orang Melayu? Bukan Islam? Ini bahaya sentimen seperti ini.
"Saya dapat makluman bukan sahaja dari bukan Melayu dan bukan Islam tapi daripada Melayu juga tentang perkara ini (sentimen perkauman) kita kena hadapi," katanya pada konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2018 di Petaling Jaya hari ini.
Semalam, sewaktu perhimpunan anti-Icerd di ibu kota, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran bahawa masyarakat Melayu Islam 'akan bangkit' sekiranya hak dan agama mereka di negara ini diusik.
Pemimpin veteran Umno Tajuddin Abd Rahman pula mendakwa konvensyen itu menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan cara untuk menguasai politik orang Melayu dan Islam di negara ini.
Perbaiki ekonomi rakyat
Lim yang merupakan Menteri Kewangan bagaimanapun berkata fokus PH kini adalah memperbaiki ekonomi rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
"Itu tanggungjawab kita, bukan mudah. Ini usaha yang kita kena jalankan bersungguh-sungguh untuk perbaiki keadaan ekonomi rakyat - khususnya orang Melayu, orang Bumiputera dan orang Bumiputera yang miskin.
"Sekiranya kita boleh berjaya, rakyat tetap akan sokong kerajaan yang boleh ubah kehidupan mereka lebih baik kepada rakyat, boleh buat pencapaian yang lebih baik kepada rakyat.
"PH telah buktikan inilah senjata paling berkesan untuk lawan pembangkang - perbaiki keadaan dan ekonomi rakyat. Kita telah lihat di Selangor dan Pulau Pinang kerana kita baiki kedudukan ekonomi rakyat," katanya.

