Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pulau Kukup kekal Taman Negara
Diterbitkan:  Dec 9, 2018 2:41 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Kerajaan Johor hari ini mengumumkan Pulau Kukup di Pontian akan kekal sebagai taman negara.

Menteri Besar Osman Sapian berkata keputusan itu diambil selepas beliau berbincang dengan sultan Johor.

"Hasil perbincangan dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baginda berkenan supaya Pulau Kukup kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor dan hendaklah dijaga dan dikawal selia di bawah Perbadanan Taman Negara Johor.

"Langkah itu dibuat bertujuan menjadikannya sebuah produk pelancongan negeri," katanya semasa menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri Johor di Johor Bahru hari ini.

Menurut Osman ekoran keputusan itu isu Pulau Kukup tidak perlu dipanjangkan lagi kerana statusnya sebagai Taman Negara Johor akan dikekalkan.

Isu mengenai status Pulau Kukup dilaporkan lebih awal oleh Malaysiakini pada 4 Dis lalu. 

Berdasarkan warta pemakluman dikeluarkan kerajaan Johor berkata status pulau itu sebagai taman negara yang dilindungi dibatalkan.

Pulau Kukup yang terletak di Pontian sudah menjadi taman negara sejak 1997.

Terkejut baca laporan

Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat exco pada 24 September lalu. Warta pembatalan itu, yang dilihat Malaysiakini, dikeluarkan pada 25 Oktober.

Pada 5 Dis pula Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan pembatalan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara dibuat supaya ia boleh diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan.

Beliau juga memberi jaminan Pulau Kukup - kawasan hutan paya bakau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa - akan terus menjadi sebagai sebuah taman.

"Sebelum ini, beberapa taman negara telah diswastakan. Di Johor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai visi yang berbeza. Untuk melindungi semua taman negara, baginda bertitah bahawa semua taman negara akan diubah menjadi tanah kesultanan," katanya. 

Osman berkata keputusan menggugurkan status Pulau Kukup sebagai taman negara dibuat pada 7 Mac 2018, iaitu ketika BN masih menjadi kerajaan negeri.

Katanya isu itu hanya diketahui oleh kerajaan PH apabila dilaporkan media.

"Saya akui terkejut dengan laporan berita tersebut, lebih-lebih lagi ada rakan dalam PH menuduh kerajaan negeri sekarang memberi kelulusan berkenaan sedangkan ia berlaku ketika pentadbiran lalu," katanya.

Osman juga menegaskan beliau sentiasa mengutamakan rakyat semasa mentadbir Johor walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan.

"Saya bukanlah boneka kepada sesiapa tetapi bertuankan rakyat yang memberi kepercayaan kepada pasukan saya.

"(Kepercayaan) ini tidak akan sesekali dikhianati," katanya.

Pulau Kukup mempunyai keluasan kira-kira 647 hektar dan dikelilingi 800 hektar tanah paya bakau.

Ia merupakan pulau hutan bakau kedua terbesar di dunia dan diisytiharkan sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar.

Lihat Komen
ADS