Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau terkejut dengan kenyataan kasar yang dikeluarkan pemimpin Umno Tajuddin Abd Rahman terhadap Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Lim berkata, walaupun himpunan antiratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) itu berlangsung aman, kenyataan anggota parlimen Pasir Salak terhadap PBB dirasakan tidak wajar.

Katanya ungkapan "go to hell with United Nation" - atau pergi jahanam sama PBB - itu tidak patut dikeluarkan oleh seorang anggota parlimen.

"Perhimpunan itu dibuat secara aman tapi saya pun terkejut ada cadangan dalam ucapan semalam, jahanamkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan di Konvensyen Biasa AP Selangor 2018 di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perhimpunan Icerd yang disertai oleh pemimpin pembangkang semalam.

Tajuddin dalam ucapannya semalam mendakwa PBB mahu mempengaruhi hala tuju negara dan dengan menguasai politik orang Islam serta kaum Melayu di negara ini melalui Icerd.

Ucapannya itu turut diselitkan dengan ayat "go to hell with United Nation" dan disambut dengan sorakan peserta yang hadir di perhimpunan tersebut. 

Untuk rekod, Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara majoriti Islam yang tidak meratifikasikan Icerd. Satu lagi negara ialah Brunei.

Ketika pembangkang mengecam dan mengancam kerajaan berhubung ratifikasi Icerd, Putrajaya pada 23 Nov lalu mengumumkan untuk tidak menerima konvensyen berkenaan.

Lihat Komen
ADS