Azeez nafi Tabung Haji langgar syarat bayar hibah
Bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim mempertahankan bahawa badan itu membayar hibah (dividen) kepada pendeposit mengikut syarat yang ditetapkan.
Beliau mendakwa laporan kewangan Tabung Haji sejak 2015 hingga 2017 telah mencatatkan lebihan aset berbanding liabiliti.
Justeru, katanya lagi, ia membenarkan Tabung Haji untuk membayar hibah kepada pendeposit.
"Saya terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof kononnya pengurusan terdahulu telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dengan tidak mengikut Akta Tabung Haji 1995.
"Dengan kata lain Tabung Haji dikatakan telah membayar hibah kepada pendeposit secara haram berjumlah RM12.652 bilion selama empat tahun berturut-turut sehingga 2017 yang mengakibatkan Tabung Haji kekurangan RM4.1 bilion.
"Saya ingin tegaskan bahawa pengurusan TH terdahulu tidak melanggar akta berkenaan dan tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari.
Semalam, Mujahid berkata TH melanggar dua syarat pemembayaran hibah dividen sejak 2014.
Beliau berkata, dua syarat tersebut merupakan sebelum pembayaran hibah dibuat, aset tidak boleh kurang daripada liabiliti dan perlu terdapat keuntungan yang boleh diagihkan.
Menurut semakan kedudukan kewangannya pada 2017 oleh PwC, TH didapati membayar hibah menggunakan simpanan pendeposit.
Bagaimanapun, atas kertas, TH memberikan gambaran bahawa hibah dibayar menggunakan keuntungan syarikat, menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
Berhubung lebihan aset yang didakwanya, Abdul Azeez berkata ia dapat dilihat dalam audit juruaudit Ernst&Young yang dilantik ketika pentadbiran BN.
Beliau berkata laporan itu mengambil kira nilai realis aset keseluruhan melibatkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usaha sama dan hartanah, berbeza dengan laporan juruaudit Pricewaterhouse Coopers yang dibentang semalam yang menurutnya mengambil kira laporan kewangan sahaja.
Azeez berkata PH juga mengheret badan mengurus ibadah haji itu ke kancah politik.
"Saya hairan mengapa menteri dan pengurusan tertinggi TH baru masih ghairah mahu mencari kesalahan pengurusan lalu sehingga sanggup melemparkan tohmahan dan memainkan sentimen liar.
"Janganlah menteri bawa TH ke kancah politik," kata Azeez.





