Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Negeri Sembilan tak sepakat pilih Rafizi jadi senator

PKR Negeri Sembilan belum memuktamadkan calon senator untuk mewakili negeri itu apabila nama yang dicadangkan menteri besar, Aminuddin Harun, ditolak ketua-ketua cabang, kata sumber.

Katanya PKR mempunyai tempoh dua hari untuk memutuskan sama ada mahu menerima Rafizi Ramli - yang dicadangkan Aminuddin - atau tokoh lain yang dikehendaki pemimpin di peringkat akar umbi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) mula bersidang hari ini dengan pembentangan belanjawan oleh menteri besar.

Usul menamakan dua calon senator dari negeri itu dijangka membentangkan pada hari akhir persidangan iaitu 19 Mei ini.

"DUN boleh mencadangkan dua calon untuk jawatan senator.

"Setakat ini DAP Negeri Sembilan sudah mengemukakan nama calon mereka," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Tambah sumber tersebut, calon senator kedua pula akan diisi oleh wakil PKR.

Menurut sumber itu lagi ketua-ketua cabang PKR mempunyai calon lain yang ingin dicadangkan dilantik menjadi senator.

Untuk rekod setiap DUN boleh mencadangkan dua nama kepada kerajaan untuk dilantik menjadi senator bagi tempoh dua penggal.

Rafizi ialah bekas anggota parlimen Pandan yang bertanding untuk mendapatkan jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan baru-baru ini.

Cuma calon DAP

Bagaimanapun usaha itu tidak berjaya apabila majoriti anggota parti mengundi penyandang, Azmin Ali.

Aminuddin ialah salah seorang calon yang berada dalam kem Rafizi. Bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu juga gagal mendapat tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Sementara itu seorang pemimpin PKR Negeri Sembilan mengesahkan parti itu belum memuktamadkan calon senator mereka.

Namun, katanya, dia yakin nama Rafizi tidak akan dicadangkan oleh DUN Negeri Sembilan.

Exco Negeri Sembilan yang juga Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP bagi negeri itu, Choo Ken Hwa, pula mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa salah seorang pemimpin parti itu akan dicadangkan menjadi senator.

Kata Choo, calon itu ialah Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, AAN Kesavadas.

"Kami akan membentangkan (usul menamakan Kesavadas) pada hari akhir sidang DUN kali ini," katanya.

Sidang hari ini menyaksikan Aminuddin membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 pada sebelah pagi sebelum sidang dilanjutkan sehingga Rabu.


Baca Pemimpin kanan PKR perlekeh usaha angkat Anwar jadi PM


Choo yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Lukut bagaimanapun enggan menjelaskan apa yang berlaku berhubung satu lagi nama senator negeri itu.

"Lebih baik pemimpin PKR Negeri Sembilan yang menjawab soalan itu," katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Aminuddin dan Rafizi untuk mendapatkan komen mereka.

Akhbar China Press hari ini melaporkan nama Rafizi itu dicadangkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim namun apabila ia dibawa Aminuddin, exco Negeri Sembilan membantahnya.

Semalam pula Sinar Harian memetik Aminuddin sebagai berkata, exco negeri tidak membantah apabila nama Rafizi dicadangkan.

"Siapa cakap anggota exco menolaknya? Semua mereka setuju, insya-Allah," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS