Izzah letak jawatan - Dr M tak tahu, Azmin mahu jawapan
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tidak mengetahui punca Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR.
"Apa? Oh, (letak jawatan) naib presiden. Bukan dari PKR.
"Saya tidak tahu, beliau mesti mempunyai sebabnya. Saya tidak tahu apa-apa mengenai apa yang terjadi kepada PKR," jawab beliau ketika ditanya mengenai peletakan jawatan tersebut.
Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) ditemui pada suatu majlis di Cyberjaya tengahari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang bercakap dengan pemberita di tempat yang sama berharap mendapat penjelasan daripada Izzah.
"Saya baru tahu mengenainya pagi tadi.
"Saya akan cuba bercakap dengannya dan memahami apa yang sebenarnya terjadi. Saya tiada apa-apa lagi nak ulas," katanya menjawab soalan mengenai peletakan jawatan itu.
Perkembangan pantas politik
Selain meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR, Nurul menyatakan beliau juga tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan persekutuan dalam apa jua kapasiti.
Nurul yang juga anak perempuan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sedang mengetuai pasukan petugas khas kerajaan mengenai latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam kenyataan media sebelum ini, Nurul berkata beliau akan kekal sebagai MP Permatang Pauh tetapi akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.
“Satu-satunya kekesalan saya ialah, pengumuman ini sepatutnya dibuat lebih awal, tetapi ia bukan mudah.
"Perkembangan politik berlaku dengan pantas sejak sembilan bulan terakhir ini dengan pemilihan parti menyusul selepas kempen pilihan raya umum yang melelahkan," katanya.
Baca berita berkaitan:
Nurul Izzah letak jawatan naib presiden PKR
Selepas Izzah, Hassan Karim tolak jawatan pengerusi PKR Johor
Izzah letak jawatan kerana prinsip
KJ: Izzah MP contoh, sangat sia-sia jika tak kembali ke barisan depan
Izzah tetap yakin Rafizi 'pilihan terbaik' timbalan presiden PKR
Latheefa bidas lantikan pengerusi PKR

