Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Izzah letak jawatan kerana prinsip, kata Rafizi
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 4:40 PM
Dikemaskini: 2:50 PM

Rafizi Ramli melihat keputusan Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR sebagai satu tindakan yang berprinsip.

Jelas Rafizi, beliau melihat Nurul Izzah mengambil tindakan agar boleh kekal bersuara "secara objektif" dalam membawa isu-isu rakyat.

"Beliau bukan mengundurkan diri dari politik. Beliau kekal memainkan peranan penting di Parlimen dan persada politik tanah air. Beliau hanya mengundurkan diri dari jawatan kanan parti.

"Saya ingin mengambil sudut positif dari keputusan tersebut. Saya membacanya sebagai satu tindakan berprinsip untuk membolehkan beliau kekal bersuara secara objektif membawa isu-isu rakyat yang selari dengan idealisme reformasi," kata Rafizi.

Hari ini, selain jawatan naib presiden PKR, Nurul Izzah turut melepaskan jawatan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang. 

Bagaimanapun, Nurul Izzah yang merupakan anak kepada Presiden PKR itu akan mengekalkan keanggotaan parti serta jawatan sebagai anggota parlimen.

'Bukti idealisme masih segar dalam PKR'

Meskipun berharap Nurul Izzah akan mempertimbangkan semula keputusannya, Rafizi berkata beliau tetap menghormati keputusan Nurul Izzah.

"Saya berharap beliau mempertimbangkan keputusan itu. Beliau tahu saya merasakan beliau boleh mempertahankan idealisme reformasi dengan kedudukan kanan beliau di dalam kepimpinan PKR.

"[...] Saya juga faham pandangan beliau. Oleh itu, saya akan menyokong segala keputusan yang dibuat oleh Nurul Izzah kerana saya percaya itu datang dari hasrat beliau untuk memainkan peranan dengan lebih berkesan.

"Saya berharap anggota PKR menerima keputusan Nurul Izzah itu dengan memberi sepenuh galakan dan sokongan. Ia juga menjadi bukti bahawa idealisme reformasi tetap segar di dalam PKR," katanya

Tambah Rafizi, jawatan kanan yang disandang Nurul Izzah dalam parti hanyalah sebagai satu alternatif untuk menyumbang kepada rakyat.

Namun, katanya keputusan yang dibuat Nurul Izzah hari ini terbukti bahawa idealisme perjuangan lebih penting dari jawatan, pangkat dan kuasa.

"Maka, keputusan beliau pada hari ini, walaupun mengejutkan, adalah sesuatu yang wajar kita teladani mesejnya," katanya.

Baca berita berkaitan:

Nurul Izzah letak jawatan naib presiden PKR
Selepas Izzah, Hassan Karim tolak jawatan pengerusi PKR Johor
Izzah letak jawatan kerana prinsip
KJ: Izzah MP contoh, sangat sia-sia jika tak kembali ke barisan depan
Izzah tetap yakin Rafizi 'pilihan terbaik' timbalan presiden PKR
Latheefa bidas lantikan pengerusi PKR

Lihat Komen
ADS