Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Langkah Zahid tak jelas, hanya mahu reda kemarahan'

Pengumuman Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk yang menyerahkan tugasnya sebagai presiden Umno kepada timbalannya Mohamad Hasan semalam nampaknya gagal memuaskan hati semua pihak dalam parti itu.

Seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian di Johor berkata kenyataan Zahid semalam bersifat tergantung terutama dalam soal hala tuju Umno.

Beliau yang meminta namanya tidak disiarkan berkata, Zahid misalnya tidak memberi tempoh masa yang khusus peralihan tugas itu.

"Nak kata dia mahu berehat agak kasar. Apa yang berlaku semalam adalah timbalan jalankan tugas presiden, pendekatan yang lembut. Maknanya dia (Zahid) tak mahu berhenti atau letak jawatan.

"Jadi ia agak kabur dan sekadar mahu redakan golongan yang tak berpuas hati dengannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tindakan Zahid semalam susulan desakan agar beliau meletakan jawatan sebagai presiden selepas sejumlah pemimpin dan anggota parlimen Umno mengumumkan keluar parti.


Baca: Zahid mengalah, serah kuasa pada Mat Hasan


Semalam ketika ditanya tentang tempoh masa pemindahan tugas itu, Zahid hanya berkata sehingga Mohamad tidak sanggup lagi memikulnya atau merasakan beliau mampu menjalankan kembali tugas itu.

Ketua Pemuda itu berkata lagi, Umno tidak boleh mengulang kesilapan mempertahankan presiden mereka yang terpalit dengan tuduhan skandal - seperti yang dilakukan ketika Najib mengemudi parti itu.

Katanya, sebelum PRU ke-14 Umno mempertahankan Najib yang terkait dengan skandal 1MDB kerana tidak mahu melihat parti itu runtuh, namun rakyat tetap menolak mereka sehingga hilang kuasa.

"Kita tak mahu pisang berbuah dua kali. PRU ke-14 kita kalah sebab isu integriti melibatkan Najib. Sekarang presiden kita pun berdepan tuduhan berkaitan integriti," katanya merujuk 46 pertuduhan yang dihadapi Zahid.

"Dulu kita pertahankan institusi presiden, tetapi sekarang kita tak mahu ia menjadi isu yang beri kesan kepada parti. Jika kita tak belajar dari kesilapan, memang kita pekak dan buta," katanya lagi.

Katanya lagi, Umno kini tidak dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan kerana terganggu dengan tuduhan melibatkan presidennya.

Beliau bagaimanapun tidak berkata Zahid perlu meletakkan jawatan dengan segera, sebaliknya menggesa pemilihan semula diadakan.

Tindakan Zahid semalam boleh dikatakan mengejutkan apabila beliau sebelum ini tampak bertegas untuk terus menjalankan tugas sebagai presiden di sebalik desakan terhadapnya.

Ia mendapat pujian daripada dalam parti itu, antaranya Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang yang menyifatkannya sebagai luar biasa dan Naib Presiden Khaled Nordin yang menganggapnya berjiwa besar.

Sementara itu, exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata Zahid akhirnya sedar beliau kian hilang pengaruh dalam parti itu.

"Zahid sedar dia lose grip dan demi selamatkan parti, dia berkorban," katanya.

Beliau berkata Zahid mungkin perlu terus berehat sehinggalah pemilihan Umno akan datang, iaitu pada 2021.

"Dia tak perlu berundur kerana dipilih oleh perwakilan. Dia cuma perlu berehat kerana masalah Umno adalah tentang kepimpinan, apabila (tugas) diserahkan kepada Mohamad Hasan ramai akar umbi rasa lega," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS