Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran bahawa beliau berpuas hati dengan prestasi P Waythamoorthy sebagai menteri perpaduan.

Beliau juga berkata terpulang kepada dirinya untuk memutuskan sama ada Waythamoorthy akan dipecat atau tidak.

"Orang ramai boleh menyatakan pendapat mereka, tapi terserah kepada saya untuk putuskan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi Waythamoorthy sebagai menteri, Mahathir berkata: "Saya okey, saya rasa okey".

Anggota parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung memorandum Pemuda Bersatu yang menggesa agar beliau memecat Waythamoorthy.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan salah seorang yang hadir ketika memorandum itu diserahkan kepada perdana menteri.

Gesaan agar pemimpin Hindraf itu meletakkan jawatan semakin kuat susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib, 24 meninggal dunia Isnin lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa susulan kecederaan akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 Nov lalu.

Waythamoorthy didakwa memburukkan keadaan apabila beliau dan tiga menteri yang lain dalam satu sidang media menyalahkan polis yang membuat kenyataan mengaitkan insiden berkenaan dengan pergaduhan antara "dua kumpulan India".

Kempen petisyen di media sosial yang menggesa Waythamoorthy meletakkan jawatan sudah mendapat 300,000 tandatangan.

Mahathir bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Siri Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, yang dianjurkan Institut Pengurusan Malaysia.

Dalam sesi soal jawab sebelum itu, Mahathir ditanya apa kekesalan terbesar dalam hidupnya.

"Kekesalan terbesar? Saya tak tahu, saya sangat tak pandai pilih orang," kata Dr Mahathir yang disambut ketawa hadirin.

Mahathir sebelum ini pernah membuat kenyataan seperti itu, yang selalunya merujuk keputusannya memilih Abdullah Ahmad badawi dan Najib Razak sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, beberapa menteri kabinet kerajaan ketika ini juga dilihat tidak begitu digemari ramai dan sering mendapat kritikan.

Mereka termasuklah Waythamoorthy dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS