Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ummah: 30 NGO akan hantar memorandum desak Waytha dipecat ke PMO

Kira-kira 30 NGO dijangka menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri esok bagi mendesak pelucutan jawatan P Waythamoorthy selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ia akan diserahkan selepas acara Solidariti Himpunan Suara Ummah "Justice For Adib" di hadapan Masjid Putra di Putrajaya, kata Ketua Sekreteriat Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya.

Ummah merupakan penganjur bagi himpunan itu. NGO itu sebelum ini menganjurkan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Beliau berkata, himpunan akan diadakan selepas sembahyang Jumaat di Masjid Putra dan mereka kemudian akan menuju Pejabat Perdana Menteri yang berjarak kira-kira 450 meter.

“Esok selepas sembahyang, kita akan serahkan memorandum itu. Kita jangka ramai yang akan hadir kerana esok Jumaat dan orang (di Putrajaya) bekerja.

"Kes kematian Adib sangat serius. Sebab itu kita nak hantar memorandum kepada perdana menteri untuk desak Waythamoorthy letak jawatan," katanya lagi yang turut mendesak siasatan yang adil terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya lagi, walaupun Mahathir mengatakan beliau berpuas hati dengan prestasi Waythamoorthy sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan, rakyat seharusnya membuat keputusan terhadapnya.

"Tak apalah, dia (Mahathir) tunggu respons rakyat. Kita akan buat (desakan) sampai Waythamoorthy letak jawatan kerana dia tak sesuai jadi menteri perpaduan," katanya lagi.

Antara NGO yang dijangka hadir esok adalah Ikatan Muslimin Malaysia, Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Majlis Perundingan Pertubuhan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Kongres Rakyat.

Semalam, Pemuda Bersatu turut menghantar memorandum bagi mendesak perkara sama.

Lihat Komen
ADS