'Syed Saddiq tak ketuai rombongan serah memorandum'
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mengetuai rombongan Pemuda Bersatu yang menyerahkan memorandum menuntut pemecatan P Waythamoorthy kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam, kata Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husannudin.
Sebaliknya Menteri Belia dan Sukan itu berada di pejabat Mahathir untuk mesyuarat kabinet, dan hanya memberikan akses kepada rombongan itu ke pejabat Mahathir untuk menyerahkan memorandum, katanya lagi.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ulya mengesahkan memorandum itu untuk menggesa Mahathir menimbang semula kedudukan Waythamoorthy dalam kabinet - selaku menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan - dan ia "selaras dengan kehendak akar umbi parti dan orang ramai".
Mahathir juga pengerusi Bersatu.
Dalam laporan Malaysiakini semalam, Pemuda Bersatu antara lain mendakwa Waythamoorthy gagal meredakan ketegangan kaum dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman dan Subang Jaya hujung bulan lalu.
Waythamoorthy juga disebut menyalahkan polis kerana didakwa tidak mengendalikan isu itu dengan baik, dan gagal meminta maaf berhubung video sepuluh tahun lalu yang memaparkannya dalm satu wawancara mengkritik apa yang disebutnya sebagai diskriminasi terhadap kaum minoriti, terutama India.
Kehadiran Syed Saddiq ketika penyerahan memorandum itu mengundang kecaman Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang menyifatkannya “menghina” kebijaksanaan Mahathir yang melantik anggota kabinetnya.
Ramasamy dalam kenyataan hari ini berkata, walaupun Waythamoorty bukan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan, beliau dilantik kerana sumbangannya kepada masyarakat India.
Semalam, Mahathir memberi gambaran berpuas hati dengan prestasi Waythamoorthy dan terpulang kepada dirinya untuk memecatnya atau tidak.

