Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Memang naik harga, nanti saya tulis surat pada KFC'
Diterbitkan:  Dec 28, 2018 12:20 PM
Dikemaskini: 4:20 AM

Jika dua minggu lalu, Rafizi Ramli menulis surat kepada ‘saudara Khairy Jamaluddin’ untuk kekal dalam Umno, mungkin dalam masa terdekat beliau akan menulis surat kepada KFC pula supaya kekal dengan harga lama.

“Saya periksa menu penghantaran KFC memang naik harga – RM4. Nanti saya tulis surat kepada KFC pula.

“Kerja tulis surat sajalah aku, hahaha,” ciapnya di Twitter empat jam lalu.

 Sebagai penyokong tegar KFC, nampaknya kenaikan harga KFC yang diperkatakan ramai orang baru-baru ini turut dirasai oleh Rafizi.

Namun, dalam meratapi harga menu KFC yang naik itu, Rafizi seperti biasa, masih sempat menyindir pelompat-pelompat parti dalam ciapannya itu.

“Saya penyokong tegar KFC, tidak pernah bertukar walau ada parti ayam lain di Malaysia ini,” tambahnya lagi.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai produk KFC yang dikatakan naik harga harga berbanding harga lama.

Dalam hantaran tersebut, menu Snack Plate dikatakan naik harga sebanyak RM3 dari harga lama RM12.30, menu Dinner Plate naik RM4 dari harga lama RM15.60, dan menu Super Jimat Box naik harga RM3 dari harga lama RM12.50.

Pemilik KFC, QSR Brands (M) Holdings Berhad dalam jawapannya kepada Malaysiakini pada 26 Dis, menjelaskan kenaikan harga tersebut berikutan penyelarasan harga jualannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 6 peratus, berkuat kuasa Disember 2018.

KFC bagaimanapun menjelaskan harga Super Jimat Box tidak pernah diletakkan harga pada RM12.50 sejak menu itu dilancarkan pada 2015.

Gambar hiasan

Namun sehari selepas itu (semalam), dalam kenyataan kepada Malaysiakini, syarikat itu berkata penyelarasan harga berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan SST yang diperkenalkan kerajaan.

“Penyelarasan harga tidak mempunyai kaitan dengan SST, kerana kadar enam peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini juga dikenakan pada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kedua-dua kenyataan asal syarikat tersebut boleh dibaca di sini.

Sementara itu, semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilapor akan membuat pemeriksaan terhadap KFC selepas dakwaan tular mendakwa harga makananya naik.

Lihat Komen
ADS