Paling Popular
Terkini

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 21 Februari sebagai tarikh baru untuk mendengar permohonan memindahkan kes pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta yang membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

Pada prosiding pagi ini, Hakim Rozina Ayob menyatakan bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan tiga lagi dokumen sokongan kepada peguam pembelaan, walaupun hampir tiga bulan telah berlalu sejak Hasanah didakwa pada Oktober lalu.

"Sepatutnya, perkara ini seharusnya sudah dilakukan (sebelum ini).

"Kita tidak akan tunggu selama-lamanya," kata Rozina.

Hakim juga enggan membuat sebarang keputusan berhubung permohonan peguam bela Mohd Khairul Azam Abdul Aziz supaya mahkamah membatalkan pembekuan akaun bank Hasanah, yang deposit pencennya dimasukkan.

Katanya, perkara itu perlu dibincangkan oleh pihak pendakwaan dengan pegawai penyiasat.

Terdahulu, Iskandar memberitahu mahkamah bahawa beberapa dokumen yang belum diserahkan perlu diperolehi dari luar negara.

Iskandar juga memaklumkan bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan dalam talian semalam untuk memindahkan kes Hasanah itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah.

"Setakat ini, belum ada petunjuk mengenai tarikh pengurusan kes," katanya.

Mengikut dokumen mahkamah, pihak pendakwaan hari ini menyerahkan tiga lagi dokumen kepada peguam pembelaaan Hasanah, selain 46 yang dilaporkan telah dikemukakan setakat ini.

Dokumen tersebut terdiri daripada salinan DVD kamera litar tertutup (CCTV) Aras 13 Shuffsburry Residence, Cyberjaya; salinan cakera keras CCTV Pejabat Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri dan salinan 'slide presentation'.

Rozina kemudian menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan baki dokumen.

Pada 25 Oktober lalu, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia sebanyak AS$12.1 juta (RM50.43 juta), April dan Mei lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS