Bekas Pengerusi Kumpulan Utusan Melayu Aziz Sheikh Fadzir dilaporkan agak keberatan untuk kembali ke akhbar berkenaan kerana tidak mahu mengeruhkan hubungan baiknya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Aziz yang meletakkan jawatan pada 13 Disember lalu dikatakan hanya mahu menguruskan soal tunggakan gaji dan pampasan, dan bukannya berunding jalan untuk berpatah balik mempengerusikan syarikat tersebut kata sumber, seperti dilaporkan The Malaysia Insight.

Buat masa kini, Ahmad Zahid sedang bercuti daripada jawatan itu dan tugas-tugasnya dipangku oleh Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

“Aziz kata dia sahabat Zahid. Agak sukar untuk dia pimpin semula syarikat sebab akan dilihat sebagai tidak lagi setia kepada Zahid,” petik sumber itu.

Isnin lalu, para pekerja Utusan menggesa bekas anggota parlimen Kulim Bandar Baru itu kembali menjadi pengerusi akhbar tersebut. Ini selepas Aziz meletak jawatan secara tiba-tiba, menyebut komitmen perniagaan peribadi sebagai alasannya.

Peletakan jawatannya sebagai pengerusi Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) diumumkan kepada Bursa Saham Malaysia pada 13 Disember 2018.

Minggu lalu, syarikat itu mungkir bayaran pertama kepada 700 orang pekerjanya yang bersetuju mengikuti skim pemberhentian kerja sukarela (VSS).

I Jan lalu, Kumpulan pemantau media, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menggesa pihak pengurusan akhbar Utusan Malaysia menyelesaikan bayaran pampasan pertama VSS yang masih tertunggak.

Susulan daripada itu, Utusan memutuskan untuk melunaskan bayaran pertama VSS, yang bermula pada Disember lalu sebelum 7 Januari ini.