Polis telah menahan lelaki yang menampar seorang pembantu kedai perempuan di sebuah kedai runcit di Bayang Lepas, Pulau Pinang.

Rakaman video litar tertutup (CCTV) yang memaparkan aksinya tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A Anbalagan berkata, suspek diberkas di Jalan Nuri Sg Ara, Bayan Lepas.

"Suspek mengaku menampar mangsa kerana tidak dapat mengawal kemarahannya.

"Dia berusia 47 tahun dan beralamat di Butterworth. Dia seorang ahli perniagaan, berkahwin dan negatif dadah," katanya.

Kira-kira pukul 8.40 pagi Selasa lalu, lelaki itu dirakam CCTV menampar seorang pembantu kedai apabila diberitahu dia hanya boleh membeli dua paket minyak masak - bukannya tiga paket seperti yang dimahunya - ekoran bekalan terhad.

Dia juga mengancam perempuan berusia 29 tahun itu dan berkata "jaga-jaga" sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Insiden itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai komen orang ramai.

Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa ia "bukan isu perkauman tetapi kemanusiaan".

Menurut Anbalagan, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Balik Pulau untuk siasatan lanjut.