Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq mahu pandu sendiri ke Cameron Highlands

PRK CAMERON | Di tengah-tengah dakwaan penggunaan sumber kerajaan oleh Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan memandu sendiri ke Cameron Highlands untuk menyertai kempen, dan hanya atas kapasiti sebagai ketua pemuda Bersatu.

"Apa yang paling mustahak kita ikut piawaian yang telah ditetapkan.

"Esok saya juga akan ke Cameron Highlands, tetapi atas kapasiti saya (sebagai ketua pemuda Bersatu).

"Saya akan memandu sendiri (ke sana), semua pun buat sendiri," katanya ketika sidang media selepas sambutan Hari OKU di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga menteri belia dan sukan itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini merupakan badan "bertaring" bawah pengerusinya Azhar Harun.

"SPR ada taring baru, Azhar Harun. Saya hormati dan takutkannya. Jadi kalau amaran sudah diberikan, kita kena terima," katanya lagi.

Beliau diminta mengulas dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan oleh PH dalam kempen PRK Cameron Highlands yang sedang berlangsung.

Antara yang membangkitkan perkara itu ialah Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, yang mempersoalkan waktu lawatan beberapa menteri ke sana sebelum kempen rasmi bermula.

"Satu lagi lawatan 'berjadual' oleh menteri atau timbalan menteri ke Cameron Highlands.

"Tiada kaitan dengan PRK," ciapnya di Twitter Jumaat lalu, sambil mengongsikan pautan laporan berkenaan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Cameron Highlands.

'Tiada lagi politik paksa, ugut'

Syed Saddiq turut menyuarakan sentimen sama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkenaan senator Bob Manolan Mohd yang didakwa mengancam tok batin di Cameron Highlands.

"Saya menyuarakan kerisauah sama bahawa politik paksaan dan ugut perlu ditamatkan. Saya sokong kenyataan Anwar dan Lim.

"Mereka kata bayaran akan tetap diberikan tanpa mengira sokongan mereka," katanya.

Beliau diminta mengulas langkah calon BN Ramli Mohd Nor yang menolak tawaran Bersih untuk menyertai debat siaran langsung antara calon.

Ramli berkata tiada sebab lagi untuknya menyertai perdebatan itu selepas dakwaan ugutan Bob Manolan.

Jumaat lalu, senator PKR itu memberitahu sekumpulan tok batin dalam sesi dialog di Jelai yang mereka boleh hilang jawatan dan gaji jika tidak menyokong kerajaan PH.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa beliau merujuk kepada konflik kepentingan jika tok batin terlibat dengan Umno dan pada masa sama menerima elaun daripada kerajaan persekutuan.

Lihat Komen
ADS