Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq yakin akta akan selesaikan masalah dana parti

Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Syed saddiq Syed Abdul Rahman percaya Akta Pembiayaan Politik  akan dapat menangani isu dana politik parti itu.

"Saya faham pendanaan itu perlu wujud tetapi ada banyak lagi jalan yang boleh kita lakukan. Armada pun tengah bincangkan beberapa penyelesaian.

"Dengan akta ini saya rasa akan bersaing di padang yang rata. Individu yang nak bantu pun mereka tahu, dan akan ada a level of certainty," katanya ketika sidang media selepas sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai krisis antara sayap pemuda parti itu dengan ketua-ketua bahagian sebelum ini.

Ia bermula ketika perhimpunan tahunan Bersatu awal bulan ini apabila Syed Saddiq mengecam perwakilan yang meminta jawatan dan kontrak daripada kerajaan.

Tidak lama selepas itu, Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Ab Rahman pula menyifatkan mereka yang tidak menggunakan sumber kerajaan dan membantah gesaan perwakilan itu sebagai 'bodoh'.

Ucapan Syed Saddiq itu menyebabkan beberapa ketua bahagian turut berang dan dikatakan berusaha menyingkirkannya daripada jawatan sebagai ketua pemuda Bersatu.

Syed Saddiq berkata beliau menghormati pandangan ketua-ketua bahagian itu namun menegaskan beliau menyertai Bersatu untuk 'membersihkan politik' di negara ini.

"Saya menghormati pandangan mereka walaupun saya tetap berpendirian tegas dalam isu ini.

"Saya fikir kebimbangan mereka untuk penyelesaian yang lebih besar iaitu kita perlu ada salah satu piawaian baru dalam pendanaan politik," katanya.

Ditanya mengenai hubungan dengan ketua-ketua bahagian itu, Syed Saddiq berkata "Saya rasa Insha Allah OK.

"Saya bernasib baik ada pemimpin tertinggi yang prihatin dalam isu ini. Tun Dr Mahathir dah tekankan itu pandangan peribadi, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata yang sama, Datuk Seri Mukhriz (Mahathir) pun kata yang sama.

"Jadi saya rasa parti tetap solid dalam isu ini," katanya.

Lihat Komen
ADS