Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhirnya Bob Manolan mohon maaf isu 'ugut tok batin'
Diterbitkan:  Jan 14, 2019 5:27 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

PRK CAMERON l Ahli Dewan Negara Bob Manolan Mohd hari ini akhirnya tampil memohon maaf berhubung kenyataannya mencadangkan agar kerajaan pusat tidak membayar gaji tok batin yang tidak menyokong dasar Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan medianya hari ini, senator PKR itu mengakui bahawa kenyataan yang dibuatnya dalam program di Pos Betau, Cameron Highlands pada 11 Jan lalu "agak keterlaluan" dan boleh dikelirukan sebagai satu ugutan.

"Saya mengakuinya (kenyataan 11 Jan itu) sebagai satu ucapan yang agak keterlaluan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan boleh dianggap sebagai satu ugutan.

"[...] Saya secara peribadi, memohon maaf kepada semua tok batin dan pihak-pihak yang merasa tersinggung dengan kenyataan saya.

"Tiada sedikit pun niat di hati saya untuk menyinggung perasaan mereka jauh sekali untuk menimbulkan ugutan," katanya.

Permohonan maaf itu dibuat selepas beberapa pihak mengkritik ucapannya yang dianggap mengugut tok batin bagi meraih sokongan buat PH sempena pilihan raya kecil (PRK) di Cameron Highlands.

Pemuda Umno Pahang sebelum ini membuat laporan polis, sementara Bersih menggesa PH mengambil tindakan disiplin ke atas Bob Manolan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menegur Bob Manolan dan memintanya membuat penjelasan.

Terima teguran

Dalam kenyataan permohonan maaf hari ini, Bob Manolan mengulangi penjelasannya bahawa kenyataannya yang dipertikai itu merujuk kepada tok batin yang memegang jawatan dalam Umno.

Bob Manolan juga menegaskan bahawa beliau tetap berpegang kepada prinsip agar tok batin yang dilantik kerajaan wajar menyokong dasar kerajaan pusat.

"Bagaimana mungkin dasar kerajaan yang mahu membela nasib masyarakat Orang Asli dapat dilakukan oleh kerajaan sekiranya tok batin yang dilantik itu terdiri dari Ketua-Ketua Cawangan Umno yang secara jelas adalah parti yang menentang kerajaan dan mereka akan sentiasa bekerja untuk parti Umno sebagai sebuah parti pembangkang.

"Peraturan ini juga terpakai kepada semua pegawai kerajaan dan ketua-ketua jabatan kerajaan di mana seharusnya tiada sikap ‘kepartian’ di dalam diri mereka sewaktu memegang jawatan yang diamanahkan kepada mereka

"[...] saya masih berpegang kepada prinsip bahawa semua ketua kampung atau tok batin sewajarnya menyokong dasar kerajaan yang memerintah agar pelaksanaan dasar kerajaan boleh dicapai dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Bob Manolan mengakui kenyataannya yang dianggap mengugut tok batin bukan saja mengguris perasaan pemimpin Orang Asli, tapi juga pemimpin PH yang "mempertahankan amalan demokrasi".

"Saya dengan ini melahirkan rasa kesal di atas ketelanjuran kata yang boleh ditafsirkan sebagai satu ugutan kepada tok batin.

"[..] Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk pimpinan parti yang telah memberikan nasihat dan teguran kepada saya dan saya akan menjadikannya sebagai satu pemangkin untuk saya terus berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Dalam perkembangan sama, semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa kerajaan pusat tetap akan membayar gaji tok batin dan tiada ugutan yang akan dikenakan ke atas pemimpin Orang Asli.

PKR melalui kenyataan Naib Presidennya, Tian Chua sebelum ini turut memohon maaf kepada masyarakat Orang Asli berhubung kenyataan Bob Manolan.

Tian Chua menegaskan bahawa sebarang ugutan untuk mendapatkan undi tidak dipersetujui oleh parti mereka.

Masyarakat Orang Asli yang mewakili 22 peratus pengundi Cameron Highlands dilihat sebagai antara faktor yang akan menentukan keputusan PRK Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Jan depan

Lihat Komen
ADS