Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam ulang gesaan agar pasukan petugas khas, RCI ditubuhkan

Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla meminta menteri undang-undang VK Liew dan Peguam Negara Tommy Thomas menasihati kerajaan agar membentuk pasukan petugas khas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menerima aduan berkaitan badan kehakiman dan perundangan.

Dalam hantaran di Facebook, peguam itu memberi respons terhadap laporan mengenai saman pemula yang difailkan oleh peguam Sangeet Kaur Deo terhadap ketua hakim negara semalam.

Haniff membuat gesaan itu selepas beliau mendedahkan bahawa seorang hakim kanan mengarahkan hakim mahkamah rayuan mengekalkan kesalahan Karpal Singh kerana menghasut tetapi mengurangkan denda yang dikenakan dari RM4,000 hingga RM1,800.

"Pasukan petugas khas atau RCI harus dibentuk supaya kes mendiang Karpal dapat diselesaikan dengan cepat," katanya sambil menambah langkah itu harus diambil untuk mengangkat martabat badan kehakiman dan undang-undang di negara ini.

Semalam, Sangeet dilaporkan memfailkan saman berhubung dua perkara iaitu kes mendiang ayahnya dan tuduhan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan yang membuat penghakiman menentang dalam kes M Indira Gandhi.

Dalam saman itu, Sangeet meminta beberapa pengisytiharan:

-Bahawa CJ telah gagal melindungi dan mempertahankan integriti badan kehakiman berkenaan dengan kes pengaduan bapanya dan tuduhan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan.

- Bahawa beliau berhak mendapat maklumat mengenai siasatan dalaman yang dijalankan ke atas kedua-dua kes tersebut, selaku individu yang haknya terjejas dan jangkaan tidak berpihak dan hakim bebas daripada campur tangan.

-Bahawa CJ telah gagal dalam tugas perlembagaan dan undang-undangnya untuk memelihara integriti badan kehakiman berkenaan dengan dua perkara yang disenaraikan di atas.

Lihat Komen
ADS