Skuad Badar: PAS akan dapatkan maklumat terperinci
PAS akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung penangkapan Presiden Skuad Badar Azhar Mohamad dan anggotanya atas dakwaan pelanggaran Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi di Kuala Muda, Kedah, malam Ahad lalu.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan perlu merujuk dengan PAS Kedah untuk butiran lanjut.
"Saya tidak ada maklumat terperinci, perlu maklumat terperinci.
"Saya tidak tahu, tidak kenal pihak mana dan ini perlu maklumat dari Kedah," katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia.
Azhar ditahan pihak berkuasa bersama seorang lagi ahli NGO itu yang berusia 30-an, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Muda. Penahanan itu mengakibatkan Azhar, 46 direman selama empat hari bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Difahamkan penahanan kedua-dua mereka dipercayai susulan laporan yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) terhadap Azhar seperti yang tular di laman sosial.
Azhar dikatakan ditahan kerana melakukan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran JHEAIK dan skuad itu tidak pernah dilantik menjadi penguat kuasa agama yang sah.
Selain itu menurut laporan JAHEAIK, skuad itu tidak pernah diberikan tauliah ataupun dibenarkan memasuki premis tanpa kebenaran dan waran geledah.
Skuad Badar terkenal dengan sesi tarbiahnya terhadap pasangan ditangkap khalwat yang dijalankan di atas kubur.




