Paling Popular
Terkini
story images
story images

PULASAN | Setiap kali melalui Lebuh Raya Mahameru - dari arah Bangsar - menuju Jalan Tun Razak pada malam hari, jarang gagal mata kita untuk bergenang melihat hal keadaan Menara Dato' Onn yang gelita hampir seluruhnya itu.

Berbeza benar dengan keadaannya pada waktu ini kalau tahun lalu. Cerah, cemerlang, bergemerlapan dan menghiburkan.

Sebelum terlupa, memang Lebuh Raya Mahameru sudah menjadi sejarah. Hasil kepintaran dan daya IQ yang tinggi kerajaan dulu, laluan itu sudah dinamakan semula sebagai Lebuh Raya Sultan Iskandar.

Tapi itulah, di antara nama Mahameru dan Sultan Iskandar itu, ada beza rasa yang ketara ketika melafazkannya. Nama baru itu terasa seperti sangat tak becus. Macam ada yang tidak selesai di situ.

Kembali kita kepada kisah kepiluan terhadap Menara Dato' Onn tadi.

Seminggu dua ini media sosial meriah dengan tanda pagar "cabaran 10 tahun" yang menarik minat begitu ramai orang. Daripada orang bawahan hinggalah ke peringkat tinggi-tinggi.

Justeru susah juga nak diterima akal apabila orang terlupa menyahut cabaran #10YearChallenge dengan menunjukkan perbezaan menara kebangaan orang Melayu - dan mungkin PAS - itu?

Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu tokoh yang diketahui aktif di dan banyak menghabiskan masanya di media sosial seperti Najib Razak.

Terdiam tak terkata

Tambahan pula hanya beberapa bulan lagi saja Najib sepatutnya boleh menyahut cabaran #10YearChallenge itu dengan membandingkan bagaimana beliau mula menjadi perdana menteri pada 2009 dulu.

Kalau kamu lupa Najib mengangkat sumpah pada 2009 itulah. Cuma tarikhnya berselisih beberapa puluh hari untuk betul-betul genap bagi mencukupkan 'haul' 10 tahun itu.

Tapi itulah. Takdir bekerja dengan caranya yang tersendiri dan kadang-kadang penuh dengan rahmat daripada Ilahi.

Bayangkan kalau Najib masih berada di Seri Perdana. Dan di sisi beliau si isteri yang kita kenali sebagai wanita berhati waja dan penuh inspirasi, Rosmah Mansor.

Malaysia tentu begitu maju di bawah pentadbiran BN yang diketuai Najib. 1MDB akan melahirkan laba melimpah-ruah buat rakyat. Tun Razak Exchange (TRX) akan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Malah pelancong asing akan terpegun dan terkaku lama di depan Menara The Exchange 106 saban hari kerana hairan memikirkan bagaimana ia mampu berdiri dengan penuh megah sambil direstui seluruh warga Malaysia di Jalan Tun Razak itu.

TRX - khususnya menara yang ada di dalamnya - tentu akan dicemburui oleh banyak negara luar, termasuk Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat.

Bangunan itu jugalah yang akan menjadi tirai latar Buletin Utama dan berita-berita lain.

Cuma ruginya - jika Najib dan Rosmah terus berada di Seri Perdana - hanya satu. Dan ia satu kerugian yang tidak dapat dibandingkan dengan sesuatu apa pun.

Kita akan terlepas berpeluang melihat betapa lucunya seorang tokoh bernama Najib Razak.

Tak pernah gagal membuat ketawa

Tanpa kekalahan BN pada 9 Mei 2018, seorang wira rakyat yang mencetuskan pelbagai idea bernas dan di luar kotak tidak akan muncul sebagai penghibur jiwa rakyat terbanyak seperti apa yang beliau lakukan pada hari ini.

Sebagai penghibur, Najib ialah khabar yang sentiasa dinanti-nanti setiap rakyat pada setiap hari.

Kemas kini hantaran beliau di media sosial jauh lebih penting daripada laporan yang disiarkan oleh mana-mana portal berita, akhbar, radio atau TV.

Status Najib itulah sebenar-benar berita.

Siapa yang dapat menafikan betapa penting dan bermaknanya hantaran-hantaran beliau yang tidak pernah gagal walau sekali untuk menggeletek perut sesiapa saja yang membacanya itu?

 

Sebagai perdana menteri dan pengerusi 1MDB tidak mungkin Najib dapat menunjukkan bakat terpendam yang ada padanya itu.

Sebagai perdana menteri dan pengerusi 1MDB Najib cuma seorang pendekar, panglima dan pelayar yang membawa kapalnya ke destinasi tertentu dengan sauh yang dilabuhkan.

Sebagai perdana menteri dan pengerusi 1MDB banyak 'beras' yang dihabiskan oleh askar siber yang dibayarnya. Alangkah ruginya Najib apabila dulu menggunakan khidmat askar siber tertentu ketika beliau sendiri memiliki naluri humor yang jauh lebih hebat.


Baca Najib: Hari ini saya sudah dinobat ‘king of troll’


Najib sebagai sekadar anggota parlimen Pekan dan penghuni sebuah rumah di Jalan Langgak Duta adalah jawapan kepada definisi jenaka dan satira yang menjadikan semua askar siber upahan tidak lebih daripada badut yang tidak berharga.

Lihat saja bagaimana Najib mempermainkan kerajaan PH di media sosial. Lihat juga bagaimana beliau kini menyertai adik-adik dan anak-anak rempit dengan beraksi di atas motosikal sambil memberikan gaya penuh manja serta mesra.

Tanpa menjadi perdana menteri Najib turut terlepas daripada persepsi bangsawan hinggalah langsung tidak janggal berpelukan dengan Orang Asli.

Dan sama ada disukai atau tidak, rupa-rupanya Najib - tanpa Rosmah di sampingnya sentiasa - ialah seorang tokoh yang penuh dengan jenaka.

Memanglah dulu pun banyak juga jenaka Najib. Tapi itu jenaka dalam kategori yang berbeza.

Sekarang ini jenaka Najib bisanya luar biasa. Salah satu contoh epik jenaka paling berbisa itu ialah ketika beliau diwawancara wartawan stesen TV Al Jazeera pada Okt tahun lalu itu.

Maka belum terlewat untuk Najib menyahut cabaran #10YearChallenge itu dengan memberikan sisi lain dalam perjalanannya sebagai tokoh yang disegani ramai.

Paparkan keadaan Menara Dato' Onn 10 tahun dulu dengan sekarang. Bandingkan juga pasangan Najib - Rosmah pada 2009 dengan 2019.

Bak kata dak-dak muda sekarang: "Malu apa bossku!"


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pemalu lagi tidak pandai menggunakan kaedah troll di pada setiap masa.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS