Paling Popular
Terkini

PRK CAMERON | Presiden Pakatan Harapan (PH) Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan bahawa pengerusi gabungan itu, Dr Mahathir Mohamad mengharapkan BN memenangi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa dalam satu ceramah yang diadakan Ahad lalu.

Menurut Wan Azizah, tuduhan itu bukan sahaja tidak benar malah Mahathir sendiri akan turun berkempen untuk memenangkan PH, Jumaat ini.

"Sudah tentu pembangkang akan buat cerita-cerita seperti itu, kedengarannya menarik tapi tidak benar.

"[...] PM akan pulang dari luar negara dan berkempen pada hari Jumaat," katanya pada sidang akhbar selepas berkempen di kubu kuat PAS di Kampung Keledek di Jelai hari ini.

Annuar dalam ceramahnya di Jelai kelmarin mendakwa "jauh di sudut hati" Dr Mahathir mahu calon BN menang dalam PRK berkenaan.

“Bila Mahathir panggil pemimpin Umno untuk membubarkan Umno dan memperkuatkan parti dia, alasan Mahathir beri adalah dia tersepit dan tidak tertahan dengan apa yang DAP sedang lakukan kepada dia.

“Jadi saya berani nyatakan dalam hati kecil Mahathir pun dia nak calon BN menang dalam PRK Cameron Highlands ini,” katanya

PH mempertaruhkan calon dari DAP M Manogaran bagi menentang calon BN Ramli Mohd Nor bersama dua lagi calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Januari ini sebagai tarikh mengundi bagi PRK berkenaan.

Lihat Komen
ADS