Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menyiasat secara menyeluruh terhadap dakwaan seorang penyelidik politik warga Perancis menjadi mangsa buli dan diugut pegawai jabatan itu di KLIA2, malam tadi.

Ketua Pengarah JIM Khairul Dzaimee Daud berkata siasatan akan dibuat dari segenap aspek bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan keselamatan negara tidak tergugat.

"Kami difahamkan subjek (penyelidik itu) dan pegawai imigresen terbabit masing-masing telah membuat laporan polis dan memberikan butiran kejadian. Kami akan memberi kerjasama dengan telus dan sepenuhnya kepada polis.

"Pada masa sama kami akan menjalankan siasatan dalaman terhadap insiden ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sophie Lemiere, pakar kajian Malaysia di Ash Center for Democratic Governance and Innovation dari Universiti Harvard, tiba di Malaysia semalam untuk menghadiri persidangan anjuran Kementerian Pertahanan, atas undangan timbalan menterinya Liew Chin Tong.

Khairul Dzaimee

Beliau mendakwa ditahan seorang pegawai di kaunter imigresen sekitar pukul 9 malam, selepas namanya ada dalam senarai polis.

"Saya menjelaskan kepada beliau bahawa saya datang untuk hadir persidangan dan menyebut bahawa saya tahu nama saya telah ditandakan oleh polis kerana penyelidikan saya ketika (era) kerajaan terdahulu," katanya dalam laporan polis yang dibuat semalam.

Beliau juga mendakwa salah seorang pegawai menjerit kepadanya, dan seorang lagi menggelarnya "sh * t" dan "bodoh" beberapa kali.

Dalam pada itu, Khairul berkata pegawainya telah mengikut SOP dan membawa Lemiere ke pejabat operasi untuk semakan lanjut.

"Subjek mendakwa telah berlaku salah faham dengan beberapa pegawai antara jurang masa beliau dibawa ke pejabat operasi hingga dibenarkan memasuki negara," katanya.

Lemiere antara lain menghabiskan masa lima tahun di Malaysia untuk membuat kajian tentang Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida).

Ia dimuatkan dalam bab Gangsta & Politics in Malaysia dalam bukunya, Misplaced Democracy: Malaysian Politics and People yang diterbitkan pada 2017.