Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bukan mudah untuk golongan mak nyah ataupun transgender membuat pengakuan terbuka tentang status jantina mereka.

Apatah lagi jika pengakuan itu mendedahkan mereka kepada ancaman dan kutukan masyarakat.

Aktivis transgender Khartini Slamah sudah lama menerima hakikat dirinya sebagai mak nyah.

Tetapi baginya, setiap individu dalam golongan itu mempunyai hak memilih untuk mengakuinya secara terbuka atau sebaliknya.

"Bukannya mereka (mak nyah) tak nak mengaku. Tapi kadang-kadang bila dah mengaku siapa diri kita, boleh mendatangkan bahaya.

"Bukan mudah untuk kami mengaku secara terbuka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di program anjuran kumpulan-kumpulan hak asasi wanita di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas kontroversi isu jantina jutawan kosmetik Nur Sajat, Khartini berkata tanggapan masyarakat banyak dipengaruhi laporan negatif tentang mereka - dan antara yang sering diperlihatkan adalah dakwaan penglibatan dalam dunia pelacuran.

"Ada ramai mak nyah yang berjaya dalam bidang lain, misalnya mak andam. Mereka mengaku siapa diri mereka, dan mereka berjaya.

"Tapi bagi saya, janganlah kita persoal hal-hal dalam kain (orang lain)," katanya lagi.

Nisha Ayub, antara aktivis transgender yang dikenali

Khartini boleh dianggap pejuang veteran nasib golongan itu yang boleh diperkatakan sering menjadi subjek cemuhan dan perlecehan sesetengah masyarakat.

Pada 1987, beliau menjadi salah seorang pengasas Persatuan Mak Nyah Wilayah Persekutuan.

Nur Sajat nama yang tidak asing dengan kontroversi jantina. Beliau baru-baru ini menyanggah laporan yang mengatakan nama asalnya bermula dengan "Muhammad".

Khartini berkata komuniti mak nyah melihat Nur Sajat sebagai contoh usahawan berjaya yang boleh dibanggakan.

"Sekurang-kurangnya ada yang berjaya sehingga ke tahap itu... Kami bangga.

"Bagaimana orang lihat dia, itu hak mereka. Mereka tak mengenali Sajat (secara peribadi). Orang seperti ini bukan senang nak naik ke atas, selalunya ramai yang cuba jatuhkan," katanya.

Terbuka belajar agama

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad menjadi antara tokoh agama yang di depan dalam soal mendekati golongan terpinggir, termasuk mak nyah.

Sebelum ini beliau dalam surat terbuka mengundang seorang lagi usahawan kosmetik Safie Ilias untuk mengadakan pertemuan dengannya.

Zulkifli Mohamad

Ia susulan beberapa gambar mencolok mata oleh Safie yang dimuat naik di laman sosialnya sehingga mengundang kritikan ramai.

Beliau bagaimanapun menolak undangan itu atas sebab tidak mahu dibebankan harapan masyarakat untuk kembali menjadi lelaki.

Bagi Khartini, tiada masalah untuk komuniti mak nyah berdialog dengan agamawan, asalkan mereka tidak dikenakan syarat untuk "kembali kepada fitrah".

"Tak bermakna anda seorang transgender anda tidak boleh belajar agama. Saya sendiri nak belajar untuk memperbaiki diri.

"Jangan kata mak nyah kena tukar dulu (ke jantina sebelumnya) baru boleh belajar agama.

"Tak kira siapa saya atau bagaimana keadaan saya, saya masih percaya kepada Allah. Saya sembahyang lima kali sehari tetapi saya tetap diri saya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS