Dewan Pemuda PAS menyangkal tuduhan biro pendidikan Pemuda Umno dalam lamanwebnya bahawa dewan tersebut mengeksploitasi pelajar sekolah dalam kes empat pelajar menyaman kerajaan Malaysia kerana menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains.

Pelajar terbabit yang diwakili bapa mereka, telah mengemukakan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari lalu.

Timbalan Ketuanya, Idris Ahmad berkata, sebagai parti politik yang konsisten memperjuangkan isu masyarakat, terutama isu pendidikan, maka pihaknya menganggap tindakan empat pelajar terbabit adalah wajar dan perlu diberi sokongan oleh semua pihak.

"Kita tidak rela mengorbankan pendidikan oleh kerana kegelojohan pemimpin Umno memperjudikan nasib pelajar di negara ini, terutama pelajar luar bandar, yang serba kekurangan," katanya sambil mendakwa, kerajaan mempermain-mainkan dasar kebangsaan yang telah diterimapakai sebagai bahasa pendidikan.

Dalam kenyataan hari ini, Idris berkata, Pemuda PAS kesal dengan sikap Pemuda Umno yang mengaku sebagai pembela masyarakat, khususnya orang Melayu, tetapi 'diam seribu bahasa' dan hilang idealisma perjuangan.

'Dedah keadaan sebenar'

Menurutnya, Pemuda Umno kini "jauh ketinggalan, berbanding dengan Pemuda Umno di bawah Allahyarham Syed Jaafar Albar dan Allahyarham Datuk Harun Idris".

Sehubungan itu, beliau mencabar Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran supaya mendedahkan markah lulus sebenar bagi Matematik dan Sains dalam Peperiksaan PMR yang lalu.

Katanya, jika benar Pemuda Umno memperjuangkan masyarakat luar bandar, mereka perlu turun ke sekolah luar bandar dan melihat sendiri apakah para pelajar boleh mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

"Pemuda PAS tetap konsisten menentang dasar ini, selari dengan para intelektual di negara ini seperti Datuk Dr Aminuddin Wahid (bekas Naib Canselor UTM), Prof. Shahril Mat Zain, anak Melayu pertama mendapat Phd. dalam Matematik (bekas Prof. Matematik UKM), dan ramai lagi cerdik pandai Melayu.

Sebaliknya, kata Idris, yang menyokong dasar tersebut hanyalah pemimpin Umno.

"Pemuda PAS akan membantu pelajar yang berhasrat untuk meleraikan kemelut pelajaran mereka selama ini. Sokongan semua pihak amat kami alu-alukan untuk kebaikan anak-anak kita kelak. Hanya sejarah yang akan menentukan siapa yang mengkhianati pendidikan anak bangsa di negara ini," tegasnya.