Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu sekat atlet Israel antara kempen Dr M di Cameron

PRK CAMERON | Sekatan Malaysia terhadap atlet Israel menjadi satu daripada isu diketengahkan Dr Mahathir Mohamad semasa berkempen bagi membantu calon PH di Cameron Highlands.

Tindakan pengerusi PH Itu dilihat sebagai cubaan mendapatkan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu di saat-saat akhir, tidak sampai 24 sebelum hari mengundi esok.

Dalam ucapannya di Felda Sungai Koyan, Mahathir berkata tindakannya itu diambil meskipun tahu negara luar mengkritik larangan tersebut.

"Israel curi tanah orang, dia buat bangunan di tanah milik orang Palestin. Begitu banyak tanah.

"Apa sebab kita tak bagi orang Israel datang ke sini?

“Kita kata dia penyangak, kita baru saja buang seorang penyangak," katanya yang merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Pendirian Malaysia berhubung larangan tersebut memang mengundang kritikan pelbagai pihak di luar ngeara, termasuk ada antaranya melabelkan beliau sebagai anti-Yahudi.

Namun sehingga kini Mahathir tetap tekal dengan pendirian tersebut.

Selagi hayat dikandung badan

"Presiden AS, Donald Trump, sebelum ni kata orang Islam dari negara tak boleh masuk negara (Amerika).

"Kalau Trump boleh buat, kenapa saya tak boleh buat?" katanya sambil disambut sorakan orang ramai yang hadir dengan kebanyakan mereka memakai baju T berwarna merah dan bertulis Pakatan Harapan.

Perdana menteri turut membandingkan pendirian kerajaan sewaktu di bawah Najib yang pernah menerima kunjungan delegasi dari Israel.

"Masa Najib dulu, orang Israel nak hantar wakil, dia terima. Tapi kita tak benarkan orang Israel ambil bahagian dalam acara renang di sini," katanya.

Gambar fail

Februari lalu, Malaysia menjadi tuan rumah World Urban Forum (WUF) di ibu kota dan Putrajaya membenarkan kemasukan enam orang wakil Israel.

Bercakap di kawasan yang terdiri daripada majoriti Melayu itu, Mahathir turut mengimbas semula salah laku wang dan skandal 1MDB yang melibatkan Najib.

Beliau menyeru supaya pengundi di situ tidak menyumbang undi kepada BN dan menolak kleptokrasi serta berjanji akan membaiki kerosakan negara selagi terdaya.

"Selagi ada hayat, saya akan cuba betulkan negara. Bukan kerana duit tapi kerana sayangkan negara. Ini negara kita, membesar di sini, berkahwin di sini dan dapat anak di sini.

"Tak sayangkah kita pada negara sendiri? Sebab itu kita ingin lihat negara kita ditadbir oleh orang yang bukan pencuri tetapi orang yang baik seperti (bekas perdana menteri) Abdul Razak, Hussein Onn," katanya.

Lihat Komen
ADS