Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Altantuya mahu kutip bayaran terjemahan urusan pembelian kapal selam'

Altantuya Shaariibuu dikatakan ingin mengutip bayaran daripada kekasihnya ketika itu, Abdul Razak Baginda bagi khidmat terjemahan bahasa Inggeris ke bahasa Rusia berhubung dakwaan pembelian kapal selam oleh kerajaan Malaysia.

Perkara itu didedahkan oleh Namiraa Gerelmaa, sepupu Altantuya, yang juga merupakan saksi ketiga dalam saman sivil RM100 juta yang difailkan keluarga mendiang terhadap Abdul Razak, kerajaan Malaysia dan dua individu yang sabit kesalahan atas pembunuhan warga Mongolia itu.

Naamira, bersama rakannya yang dikenali sebagai Urintuya Gal-Ochir, pada Oktober 2006 menemani Altantuya ke Kuala Lumpur.

"Altantuya kata dia mempunyai hubungan dengan Razak Baginda dan dia mahu bertemu beliau.

"Dia (Altantuya) juga beritahu saya bahawa dia ada buat kerja terjemahan untuk Abdul Razak dan mahu kutip bayaran daripadanya," kata Naamira sebagai menjawab soalan daripada peguam pembelaan Sangeet Kaur Deo.

Naamira berkata dia datang ke Malaysia selepas dijemput menemani Altantuya dan mendakwa hanya diberitahu tentang rancangan sepupunya itu selepas tiba di negara ini.

"Dia juga beritahu saya bahawa Malaysia mahu membeli kapal selam daripada Rusia dan perjumpaan itu diadakan di Perancis.

"Dia kata Razak Baginda memerlukannya untuk buat kerja terjemahan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Rusia dan sebaliknya, bagi perjumpaan itu. Dia beritahu saya ada persetujuan," kata Naamira di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Selepas tiba di Kuala Lumpur, Namiraa berkata Altantuya berkongsi tentang hubungannya dengan Razak Baginda, termasuk bagaimana kedua-dua mereka menjalani kehidupan harian seperti suami isteri.

Tambah Namiraa, pada satu tahap, Razak Baginda malah ingin mereka mempunyai anak bersama.

"Altantuya beritahu saya bahawa dia cuba hubungi Razak Baginda beberapa kali sebelum datang sini, tapi tidak berhasil. Jadi dia terpaksa datang sini (Malaysia) untuk jumpa dia," katanya.

Dalam pemeriksaan balas, peguam Razak Baginda, Manjeet Singh Dhillon berkata Namiraa "melebih-lebihkan" perincian dalam kenyataan kesaksiannya itu, termasuk dakwaan pembelian kapal selam oleh kerajaan Malaysia.

Namiraa dan Urintuya sebelum ini pernah memberi kenyataan sebagai saksi dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya pada 2007.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS