Syed Ali nafi Petronas beri layanan istimewa kepada syarikat
Bekas ketua Umno Bahagian Cheras Syed Ali Alhabshee menafikan Uzma Bhd menerima layanan istimewa daripada Petronas.
Beliau juga berkata telah berundur daripada pengerusi Uzma pada Julai 2018.
"Uzma mengambil bahagian dalam proses tender dan tidak mendapat kelebihan (daripada Petronas).
"Saya difahamkan Uzma telah membuat laporan terhadap pihak berkuasa terbabit (berhubung dakwaan itu)," katanya kepada Malaysiakini.
Syed Ali dahulunya seorang pemimpin Umno yang lantang tetapi keluar parti September lalu.
Beliau mengulas artikel yang diterbitkan laman Sabahkini2.com yang mengaitkan dirinya dengan Uzma.
Artikel itu mempersoalkan sama ada syarikat-syarikat tertentu akan mendapat layanan istimewa daripada Petronas jika melibatkan bayaran rasuah dan hubungan meragukan.
Hari ini Petronas berkata telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu yang disifatkannya sebagai berniat jahat.
Petronas bagaimanapun tidak menamakan laman web itu.
"Merujuk dakwaan berniat jahat dalam artikel sebuah laman atas talian yang tidak disahkan, Petronas ingin menegaskan bahawa dakwaan (di laman web itu) tidak berasas dan tidak benar.
"Petronas sentiasa menjaga tadbir urus korporat pada tahap tertinggi serta memastikan ketelusan dalam semua urusan perniagaan dam kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terus merosakkan reputasi dan integriti syarikat ini atau kakitangannya," kata syarikat itu dalam kenyataan.
Menurut laman webnya, Uzma adalah syarikat perkhidmatan minyak dan gas antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan dalam sektor huluan merentasi proses penerokaan, pembangunan dan pengeluaran, dan sektor hiliran untuk pembinaan pelantar/kemudahan, proses operasi dan penyelenggaraan.
Syarikat yang ditubuhkan pada 2000 itu berkata telah bekerja dengan lebih 50 syarikat di seluruh dunia.

