Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Marzuki dipilih bukan kerana kelayakan akademik, kata Mukhriz
Diterbitkan:  Feb 7, 2019 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir mempertahankan Setiausaha Agung partinya Marzuki Yahya mengenai kelayakan akademiknya.

Beliau berkata timbalan menteri luar itu dipilih menduduki jawatan tersebut bukan kerana kelayakan akademik beliau.

"Saya pasti beliau dipilih sebagai timbalan menteri bukan berdasarkan kelayakan ijazah Camridge University yang dipegangnya," katanya, petik laporan The Star.

Kelayakan akademik Marzuki mula menjadi sorotan umum selepas suatu laporan polis dibuat terhadap dakwaan beliau telah berbohong berhubung mendapatkan ijazah dari University of Cambridge di United Kingdom.

Beliau menjelaskan semalam ijazah pentadbiran perniagaannya diperolehi daripada Cambridge International University yang dikatakan berpengkalan di Amerika Syarikat.

"Saya fikir mereka (pengkritik saya) salah faham (kelayakan saya). Saya (belajar) di Cambridge International University di AS.

"Saya membuat logistik (sebelum menyertai politik), jadi saya hanya mengambil sijil untuk pengetahuan saya untuk mengembangkan perniagaan saya. Sebagai CEO syarikat, saya ingin memperluaskan pengetahuan dan perniagaan saya," katanya kepada Malaysiakini.

Marzuki sekali lagi menegaskan beliau akan memberikan semua bukti kelayakan akademiknya kepada polis sebaik sahaja dipanggil untuk disoal siasat.

Menurutnya, semua tuduhan terhadapnya adalah berniat jahat dan bertujuan merosakkan reputasi beliau.

Mukhriz berkata sepanjang pengetahuannya Marzuki tidak pernah mengisytiharkan beliau merupakan graduan University of Cambridge dan maklumat berkenaan cuma terpapar di halaman Wikipedianya.

"Dan apa yang diketahui beliau (Marzuki), beliau telah mengikuti pengajian di institusi dalam talian di Amerika Syarikat yang memiliki nama yang sana," jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS