Malaysiakini BERITA

Nik Aziz sah calon PSM di Semenyih

M Fakhrull Halim  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK SEMENYIH | Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon bagi PRK DUN Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PSM Dr Nasir Hashim dalam sidang media di Semenyih, sebentar tadi.

Nik Aziz ialah anggota jawatankuasa pusat Pemuda PSM, dan sebelum ini memang diperkatakan akan bertanding dalam PRK ini.

Turut hadir dalam sidang media ialah AJK Pusat S Arutchelvan dan Ketua Pemuda Khalid Ismath.

Dalam ucapannya, Nik Aziz menyentuh tentang pentingnya menambah bilangan pembangkang dalam dewan undangan negeri (DUN) Selangor dan mengapa PSM parti yang sesuai untuk itu.

“Kita perlukan pembangkang yang lantang, tetapi pembangkang yang macam mana?

“Adakah kita mahu yang memecah-belahkan masyarakat dengan senjata perkauman? Yang masih terpalit dengan rasuah dan skandal? Atau kita mahu pembangkang dari parti yg berprinsip?

“Calon dari parti yang walaupun telah bertanding di sini sebanyak tiga kali dan kalah, tetapi tidak menutup pusat khidmatnya, tetap berjuang untuk rakyat,” katanya merujuk kepada PSM.

Nik Aziz

Pada masa ini Pakatan Harapan (PH) menguasai 51 daripada 56 kerusi DUN. Umno memilik empat kerusi manakala PAS satu kerusi.

"Kita bimbang dengan bilangan kerusi yang begitu banyak ia akan mendorong kerajaan negeri ke arah korupsi (kerana semak dan imbang yang lemah)," katanya lagi.


Baca: Nik Aziz bakal calon PSM di Semenyih?


Berusia 25 tahun, Nik Aziz bekerja sebagai tukang urut tradisional dan mempunyai pusat urut sendiri di Semenyih.

Pada 2012, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra tetapi tidak menghabiskan pengajian diplomanya.

Beliau juga pernah bergiat sebagai aktivis NGO Royalti yang menuntut kerajaan BN membayar royalti petroleum kepada Kelantan, beberapa tahun lalu.

Di tengah-tengah isu dakwaan ijazah palsu yang diperkatakan sekarang, Nik Aziz berkata kegagalan menamatkan pengajian bukanlah penghalang untuk bertanding.

"Kita jujur dan tiada apa yang disembunyikan. Kesan lebih negatif jika kita tak jujur tentang tahap pendidikan kita," katanya lagi.

Sementara itu, Arutchelvan berkata yakin dengan pemilihan Nik Aziz untuk mewakili PSM.

Katanya, walaupaun ada pihak menganggap golongan sosialis terdiri daripada orang berusia, Nik Aziz menjadi tanda semakin ramai golongan muda yang menyokong perjuangan mereka kerana tidak setuju dengan sistem yang diamalkan hari ini.

“Nik ini calon muda, calon yang lebih handsome, masih belum berkahwin. Kami di Semenyih amat gembira kerana dapat menampilkan seorang calon yang kami rasakan terbaik untuk membawa bendera PSM," katanya.

Beliau yang bertanding di DUN Semenyih sebanyak tiga kali - sejak PRU 2008 - berperanan sebagai pengarah pilihan raya untuk PRK kali ini.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Bersatu, Bakhtiar Mohd Nor yang juga Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

PH dan BN dijadual mengumumkan calonnya esok. Selain itu, aktivis masyarakat Kuan Chee Heng - lebih dikenali sebagai Uncle Kentang - turut menyuarakan hasrat untuk bertanding bawah tiket bebas.