BERITA Malaysiakini

Lantikan SPR: Azmi Sharom akan letak jawatan pensyarah UM

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Profesor Madya Dr Azmi Sharom yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meletakkan jawatannya sebagai pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM).

Azmi berkata pada masa ini, beliau dalam proses menghantar surat peletakan jawatan kepada pengurusan UM.

"Tumpuan utama kini adalah berkhidmat dengan SPR,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ketika ditanya bila beliau akan memulakan tugas, Azmi berkata perkara tersebut akan diputuskan selepas proses menghantar surat berkenaan.

Sehubungan lantikan itu, Azmi meletakkan hasrat untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Menurutnya, perkara tersebut seiring dengan kehendak rakyat supaya sistem pilihan raya diperbaiki dengan mematuhi prinsip yang terdapat dalam perlembangaan.

“Beri saya peluang dan ketika ini masih terlalu awal untuk diperkatakan (mengenai langkahnya untuk SPR),” katanya.

Azmi, 50, yang berasal dari Pulau Pinang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam International Environmental Law, University of London, School of Oriental and African Studies.

Pelantikan Azmi termasuk empat anggota SPR yang baharu diumumkan Ketua Setiausaha Negara Dr Ismail Bakar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggantikan Othman Mahmood yang memutuskan untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

- Bernama