Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lantikan anggota SPR patut diperakui parlimen - MP PAS
Diterbitkan:  Feb 15, 2019 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Pelantikan anggota baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memperlihatkan komitmen kerajaan dalam melakukan reformasi institusi, kata Anggota Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata ini kerana sepatutnya pelantikan anggota baru SPR perlu melalui proses perakuan daripada parlimen sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Pelantikan ini sekali lagi tidak memperlihatkan komitmen kerajaan dalam melakukan reformasi institusi sedangkan agenda ini merupakan intipati penting yang terkandung dalam Buku Harapan, Kajian Separuh Penggal RMK11 dan Bajet 2019.

"Sepatutnya, pelantikan anggota-anggota SPR yang baru ini mestilah melalui proses perakuan oleh parlimen sebelum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

SPR bertanggungjawab pada parlimen

Menurut Mohd Khairuddin yang juga bendahari Dewan Ulama PAS hal ini penting supaya memastikan SPR bertanggung jawab kepada parlimen dan telah pun ditegur sebelum ini semasa pelantikan pengerusi SPR pada September tahun lalu.

"Ini penting bagi memastikan SPR bertanggungjawab kepada parlimen, bebas daripada campur tangan Kerajaan dan mendapat kepercayaan awam.

"Kerajaan juga telah ditegur mengenai perkara ini semasa pelantikan Pengerusi SPR pada September tahun lalu," jelasnya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom sebagai timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru.

Beliau menggantikan Othman Mahmood yang memutuskan memendekkan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Selain itu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Ramlan Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Kementerian Sumber Manusia, Chin Phaik Yoong, Felo kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Faisal S Hazis dan pakar rujuk Bersih 2.0, Zoe Randhawa turut dilantik sebagai anggota jawatankuasa SPR yang baru.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai tarikh mereka melaporkan diri sebagai anggota SPR sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.

Lihat Komen
ADS