Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Benar, Hadi memang kata PAS tak sokong Umno di Semenyih' - Dr M

PRK SEMENYIH | Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini bertegas Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah memberitahunya parti itu tidak akan menyokong Umno dalam pilihan raya kecil DUN Semenyih.

Mahathir pertama kali membuat dakwaan tersebut ketika sidang akhbar semalam dan pengerusi PH itu sekali lagi mengulang kenyataannya behawa Abdul Hadi bersama Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar telah membuat pengakuan itu ketika pertemuan mereka pada Jumaat lalu.

"Saya terpaksa kata yang benar. Hadi, Takiyuddin dan Samsuri mengaku bahawa mereka tak akan sokong Umno pada (PRK Semenyih) kali ini kerana yang lawan dengan Umno kali ini bukanlah dari DAP.

"Mereka sokong Umno dulu sebab calon lawan datang dari DAP. Kali ini Umno bukan lawan dengan DAP," kata Mahathir pada sidang akhbar di Puchong selepas melancarkan Dasar Komuniti Negara.

Mahathir juga berkata memiliki perjanjian bertulis yang telah dimeterai tandatangan Takiyuddin.

Bercanggah kenyataan Umno

Kenyataan pengerusi Bersatu semalam dikeluarkan hanya beberapa jam selepas wakil kepimpinan PAS hadir menyokong calon BN Zakaria Hanafi di pusat penamaan bagi PRK Semenyih.

Ia juga bercanggah dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden, Mohamad Hasan semalam.

Beliau berkata Umno dan PAS akan menjalinkan kerjasama erat untuk kempen di Semenyih.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah pula mendakwa kenyataan Mahathir untuk merosakkan hubungan parti itu dengan PAS.

Namun hari ini, Mahathir yang juga pengerusi PH berkata beliau memiliki perjanjian bertulis yang dimeterai tandatangan Takiyuddin.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata bagaimanapun delegasi PAS Jumaat lalu tidak menyatakan sokongan kepada PH atau Bersatu.

"Tapi mereka tak sebut nak sokong Bersatu atau tidak, nak sokong PH atau tidak. Tapi tak sokong Umno.

"Dan pemimpin mereka tak akan hadir (kempen). Tapi sepertimana kita tahu pemimpin mereka hadir juga (ke penamaan calon)," katanya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS