Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SEMENYIH | Selain bekas perdana menteri Najib Razak, kempen BN akan turut diperkuatkan dengan kehadiran presiden Umno yang kini sedang bercuti, Ahmad Zahid Hamidi.

Dan seperti Najib, Zahid juga akan berkempen dengan gimik konvoi bermotor.

Menurut Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan Ramlan Askolani dalam satu kenyataan, Zahid dijadual menyertai program 'Ride Makmurkan Rumah Allah 3.0' bersama sebuah NGO pada petang ini.

Menurutnya, konvoi bermotor Zahid akan bermula pada pukul enam petang, ke Surau At-Taqwa Kampung Razak untuk sembahyang Maghrib berjemaah.

Zahid kemudian akan ke Surau Al-Furqan Taman Desa Kenanga 3 untuk sembahyang Isyak, sebelum menghadiri program di sebuah restoran, katanya lagi.

Semua acara tersebut bakal berlangsung di bandar Semenyih.

Sejak menyerahkan tugas kepada pemangkunya Mohamad Hassan, bekas timbalan perdana menteri itu hanya pernah muncul sekali dalam program politik, iaitu di forum bertajuk Kerjasama Umno dan PAS Sejauh Mana? di kawasan parlimennya, Bagan Datuk, pada 7 Februari lalu.

Ketika itu, beliau membayangkan akan menghabiskan cutinya tetapi akan kembali memimpin parti itu apabila "berlaku peristiwa besar dalam negara mengikut 'kasyaf' para ulama".

Sehingga kini beliau tidak menjelaskan perkara besar yang dimaksudkannya itu.

Lihat Komen
ADS