Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Maria Chin dapat kebenaran rayu berhubung sekatan ke luar negara
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah untuk merayu berhubung sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan ke atasnya oleh Ketua Pengarah Imigresen dan satu pihak lagi, pada 15 Mei 2016.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Balia Yusof Wahi, dalam keputusan sebulat suara memberi beliau kebenaran untuk mengemukakan rayuan.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Tiga persoalan undang-undang dikemukakan untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam rayuan itu.

Soalan itu adalah: Sama ada Seksyen 3(2) Akta Imigresen 1959 memberi kuasa kepada ketua pengarah melakukannya dengan kebebasan yang tidak bertanggungjawab? Bolehkah ketua pengarah mengenakan sekatan perjalanan atas sebab-sebab yang menjejas hak demokratik rakyat seperti mengkritik kerajaan?

Sama ada Seksyen 59 Akta Imigresen (yang tidak memasukkan hak seseorang untuk didengar) adalah sah dan berperlembagaan.

Sama ada Seksyen 59A Akta Imigresen, yang menolak permohonan semakan kehakiman, adalah sah dan berperlembagaan berdasarkan kes Semenyih Jaya Sdn Bhd terhadap Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat dan satu lagi dan M Indira Gandhi terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Maria, yang merupakan bekas Pengerusi Bersih 2.0, memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Imigresen untuk menghalangnya melakukan perjalanan ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016, untuk menerima anugerah bagi Bersih 2.0.

Bagaimanapun, larangan perjalanan itu ditarik balik pada 17 Mei 2016 selepas dua hari larangan itu dikeluarkan.

Mahkamah tinggi menolak permohonan semakan kehakimannya pada 18 Mei 2017 manakala rayuannya ditolak di Mahkamah Rayuan pada 25 Mei tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad, dalam keputusannya menolak permohonan itu berdasarkan dua alasan utama iaitu ia bersifat akademik dan keputusan Ketua Pengarah Imigresen serta Kementerian Dalam Negeri dalam mengeluarkan larangan berkenaan, tidak boleh disemak berdasarkan Seksyen 59A Akta Imigresen.

Peguam Maria, Datuk Gurdial Singh Nijar memberitahu pemberita mereka dibenarkan untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelumnya yang memberi kuasa hanya kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk menghalang warganegara ke luar negara.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Menteri Dalam Negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS