Keputusan kerajaan Pakatan Harapan menarik balik moratorium pelombongan bauksit dan pengeksportan di Pahang terus menerima kecaman pelbagai pihak.

Terbaru, Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) membidas keputusan kerajaan itu dan mendesak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan menterinya, Dr Xavier Jayakumar supaya mengkaji semula penarikan moratorium berkenaan.

“Tiada satu pun dialog diadakan dengan pihak berkepentingan seperti komuniti tempatan di kawasan berhampiran aktiviti itu yang mahu industri bauksit dihentikan.

“Ini menunjukkan Xavier tunduk kepada pemain industri bauksit dengan meletakkan kepentingan industri mengatasi kepentingan awam,” kata Timbalan Presiden PAKP, Haslihelmy DM Zulhasli dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, moratorium itu dikeluarkan kerajaan BN terdahulu selepas melihat kesan terhadap alam sekitar yang serius susulan aktiviti perlombongan bahan mineral itu.

Pada 18 Februari lalu, Xavier memaklumkan tempoh moratorium terhadap kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari negeri ini yang berakhir 31 Mac depan tidak dilanjutkan.

Menurut beliau, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) baru serta penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.

Mengulas lanjut, Haslihelmy berkata, PAKP menentang moratorium berkenaan dihentikan bagi mencegah berulangnya insiden pencemaran seperti sebelum ini.

“Antara simpanan stok bauksit mencemarkan sumber air dan menjadikan jalan, sungai serta perairan pantai berwarna merah,sekali gus menjejaskan nelayan dan ekosistem,” katanya.

Turut membidas keputusan itu adalah anggota parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang juga adalah timbalan menteri di jabatan perdana menteri. Katanya, keputusan tersebut wajar disertakan dengan pemakluman awam mengenai prosedur operasi standard (SOP) serta laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) pelombongan bauksit.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula mempertikaikan kuasa Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk mengawal kesan alam sekitar.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata kuasa mengawal kesan alam sekitar, termasuk akibat perlombongan, terletak bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang boleh menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Malah, katanya lagi, moratorium terhadap perlombongan bauksit tiga tahun lepas dibuat oleh bekas menteri alam sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Jelas menteri air, tanah dan sumber asli tidak mempedulikan kebimbangan terhadap alam sekitar dan tidak berunding dengan komuniti tempatan yang terjejas atau kumpulan alam sekitar berhubung perkara ini dan tunduk kepada industri bauksit.