Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: Kabinet setuju tubuh RCI siasat badan kehakiman
Diterbitkan:  Feb 20, 2019 6:37 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Kabinet pada dasarnya bersetuju untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kepincangan dan salah laku dalam bidang kehakiman, kata sumber.

Malaysiakini juga difahamkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

"Betul. PM akan umumnya," kata sumber berkenaan.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavit yang mengejutkan, mendakwa terdapat kepincangan dan salah laku dalam bidang kehakiman.

Antaranya, beliau mendedahkan terdapat hakim-hakim tertentu bersubahat dengan ahli politik dan sektor swasta untuk menipu duit rakyat.

Selain itu, beliau dalam afidavitnya juga turut mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam perbicaraan dan menyebut kes Liwat II Anwar dan rayuan kes hasutan bekas pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh sebagai contoh.

Hamid Sultan juga berikrar mendedahkan lebih banyak butiran jika RCI ditubuhkan tetapi berkata beliau tidak akan memberikan sebarang maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pelbagai pihak, termasuk Majlis Peguam, turut menyokong seruan bagi penubuhan RCI itu.

RCI ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.

Lihat Komen
ADS