Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor sahkan Adib alami lebam pada dada, patah tulang rusuk
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 4:49 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

INKUES ADIB l Seorang doktor bahagian kecemasan di sebuah hospital swasta memberitahu mahkamah hari ini Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mengalami lebam-lebam pada bahagian atas kanan dinding dadanya, selain patah empat tulang rusuk.

Dr M Nantha Kumeran, 39, yang bertugas di jabatan kecemasan Pusat Rawatan Subang Jaya (SJMC) sejak 2013, berkata laporan X-ray ke atas anggota bomba itu menunjukkan patah pada tulang rusuk kedua, ketiga, keempat dan kelima (di sebelah kanan).

"Terdapat juga lebam-lebam pada bahagian atas kanan dinding dada dan apabila saya sentuh bahagian itu, (saya dapat dengar) bunyi retak dan kelihatannya ke arah pneumotoraks (paru-paru kempis).”

Beliau berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah, yang juga pegawai pengendali inkues kematian Muhammad Adib.

Doktor berkenaan yang berkhidmat sejak 10 tahun lepas, berkata beliau mula memeriksa Muhammad Adib di dalam bilik pemulihan kecemasan SJMC pada awal pagi 27 Nov lepas.

Zhafran: “Bagaimanakah pemerhatian kamu?”

Dr Nantha Kumeran: “Dia (Adib) mengalami kesukaran untuk bernafas, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan membuat bunyi yang tidak dapat difahami. Saya memeriksa (kadar denyutan) nadinya, ia kira-kira 145 denyutan seminit, tekanan darahnya adalah 85/46… tahap maksimum oksigen sekitar 48 peratus.”

Zhafran: “Apa lagi?”

Dr Nantha Kumeran: “Tiada baju, kasut atau sarung kaki. Dia (Adib) memakai seluar (seragam) Bomba.”

Doktor itu berkata beliau tidak boleh berkomunikasi dengan Muhammad Adib ketika itu kerana anggota bomba berkenaan hanya membuat bunyi yang tidak dapat difahami manakala dan tahap kesedarannya pula rendah.

Dr Nantha Kumeran berkata beliau kemudian mengarahkan supaya dibuat pemeriksaan X-ray, yang dilakukan pada 1.35 pagi, 27 Nov di dalam bilik pemulihan itu.

Mengenai laporan X-ray, doktor itu berkata beliau dapat melihat dengan jelas bahawa Muhammad Adib mengalami kontusi paru-paru.

“(Saya dapat lihat) tulang rusuk yang patah (dalam X-ray) tetapi lebih banyak kontusi atau lebam (paru-paru). Kecederaan paru-paru adalah lebih daripada tulang rusuk. Kontusi paru-paru adalah kecederaan pada paru-paru," katanya.

Zhafran: “Apakah penyebab kontusi paru-paru?”

Dr Nantha Kumeran: “Trauma tumpul boleh mengakibatkan kecederaan paru-paru.”

Doktor itu berkata laporan X-ray menunjukkan terdapat tompokan putih di seluruh paru-paru Muhammad Adib, yang bermakna kecederaan paru-paru atau kontusi paru-pasu.

Beliau berkata sebelum pemeriksaan X-ray, intubasi iaitu proses memasukkan tiub menerusi mulut dan kemudian terus ke tenggorok, dilakukan ke atas Muhammad Adib.

Katanya selepas merawat Muhammad Adib selama sejam, beliau berjumpa tiga lelaki India yang membawa Muhammad Adib ke SJMC untuk bertanya apa yang berlaku kepadanya.

Ketiga-tiga mereka menyatakan Muhammad Adib mungkin terjatuh daripada jentera Bomba atau mungkin telah dipukul, katanya.

Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung.

- Bernama


Lihat Komen
ADS