Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS makin gigih pertahan Mahathir
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 8:39 AM
Dikemaskini: 12:43 AM

PAS kelihatan semakin menggiatkan usaha mereka mempertahankan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan mengecam DAP, PKR dan Amanah.

Kali ini Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi menggunakan contoh insiden sebelum PRU ke-14 untuk menunjukkan rasa jeliknya terhadap DAP, dan pada masa sama menunjukkan sokongan kepada Mahathir.

Kata Muhammad Khalil insiden berkenaan adalah bukti jelas DAP menggunakan perdana menteri untuk mencapai cita-cita politik mereka.

"Lihat sahaja ucapan dalam ceramah Nga Kor Meng ketika PRU ke-14 alu.

"Melihat kepada ucapan ceramahnya sudah cukup membuatkan kita mual dan muntah dengan kata-kata beliau terhadap Mahahtir.

"Tidak cukup jelas lagikah untuk kita (melihat) bagaimana DAP hanya menggunakan Mahahtir untuk mencapai cita-cita mereka yang sudah tentu menggembirakan teman rapat mereka seperti PKR dan Amanah kerana mendapat manfaat dan faedah?" katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan dibuat Muhammad Khalil dipercayai merujuk kepada ceramah anggota parlimen Teluk Intan itu beberapa hari sebelum tarikh mengundi PRU lalu.

Tidak dikecam pemimpin

Dalam ceramah berkenaan Nga yang meminta supaya Mahathir "menangguhkan" kematiannya agar tugas PH mengalahkan Najib Razak dan BN dapat disempurnakan.

Nga kemudian menyanyikan lagu "Selamat tinggal sayangku, selamat tinggal kekasihku," sambil menyatakan ia mungkin berlaku selepas Mahathir "menyelesaikan tugasnya".

"Kamu semua perlu minta Mahathir supaya tidak pergi dulu, kita mahu minta Mahathir hidup lama," katanya dalam bahasa Kantonis.

Bagaimanapun, video itu dimuat naik di Facebook dengan keterangan yang tidak tepat dalam bahasa Melayu, termasuk menyatakan Nga berkata Mahathir "boleh mampus" selepas menyelesaikan tugasnya, walaupun ia merujuk kepada BN.


Baca MB: Kelantan yakin kewibawaan Dr Mahathir


Nga kemudian meminta maaf dan mengakui kadang-kadang bahasa Mandarinnya agak keras dan sinis.

"Saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekerasan nada atau bahasa saya yang gunakan jika dianggap kasar. Saya akan cuba bernada lebih lembut dalam ceramah-ceramah akan datang," katanya. 

Sementara itu Muhammad Khalil menggunakan kenyataan pemimpin DAP Johor ke atas Mahathir untuk menguatkan dakwaan PAS bahawa perdana menteri sedang ditekan parti komponen PH.

Kata Adun Batu Buruk itu, desakan Dr Boo Cheng Hau supaya Mahathir meletakkan jawatan tidak dikecam oleh mana-mana pemimpin DAP, PKR atau Amanah.


Baca 'Benar, Hadi memang kata PAS tak sokong Umno di Semenyih'


"Gesaan beliau menerima kecaman hebat daripada pimpinan Bersatu seluruh negara namun tiada satu pun pimpinan utama DAP, PKR dan Amanah menempelak atau menyuruh Boo menarik balik kenyataan tersebut serta meminta maaf walaupun setelah 24 jam ia diucapkan.

"Menggesa seorang pemimpin utama PH meletakkan jawatan sebagai perdana menteri adalah satu gesaan yang cukup besar dan berat, namun tidakkah kita pelik kerana kesemua pimpinan utama PH diam seribu bahasa?" katanya lagi.

Menurut anak presiden PAS itu pemimpin atasan PH "wajib" mengecam kenyataan Boo atau kegagalan berbuat demikian menunjukkan mereka merestui desakan tersebut.

Gambar dari pertemuan Abdul Hadi dan Mahathir minggu lalu

"Wajibnya pimpinan utama PH menempelak kenyataan tersebut dan menyokong kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi PH, namun tiada seorang pun berbuat demikian.

"Ia sebenarnya cukup ajaib serta menghairankan. Apa sudah berlaku kepada Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan (Mohamad) Sabu?

"Atau sebenarnya itulah tanda awal atau permulaan perancangan mereka?" katanya.

Menurut Muhammad Khalil tindakan pemimpin kanan PH tidak menempelak Boo mungkin menunjukkan mereka sependapat dengan Boo.

"Jika benar, ia sebenarnya tanda awal apa yang dijangka oleh PAS akan berlaku tidak lama lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS