Gerakan beri amaran PH boleh bertukar jadi BN 2.0
Presiden Gerakan Dominic Lau memberi amaran bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh berubah menjadi satu lagi BN - gabungan yang disertai parti itu selama hampir lima dekad sehingga meninggalkannya tahun lalu.
Lau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang menggesa kerajaan pusat tidak lagi "apologetik" dalam melaksanakan janji yang melibatkan agenda Melayu dan bumiputera. Ia susulan kekalahan PH pada pilihan raya kecil DUN Semenyih, Sabtu lalu.
"Tindakan sedemikian pada dasarnya sama seperti yang diamalkan BN. PH secara perlahan-lahan akan menjadi BN 2.0.
"Jika kerajaan PH cenderung menerapkan dasar perkauman untuk memenangi sokongan pengundi, ini adalah trend yang membimbangkan, dan ia juga melanggar komitmen PH untuk pembaharuan sebelum pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin Gerakan juga mempersoalkan sama ada pendirian Azmin itu disokong oleh parti-parti komponen PH.
"Adakah ini agenda peribadi Azmin atau konsensus seluruh PH?
"Para pemimpin PH harus segera menjelaskan pendirian mereka sama ada mahu berjuang untuk semua rakyat Malaysia atau mengutamakan Bumiputera," katanya.
Gabungan itu, kata Lau, harus mengutamakan semua rakyat negara ini dan bukannya memperjuangkan dasar yang berasaskan kaum.
Gerakan, yang pernah memerintah Pulau Pinang dan hari ini tidak mempunyai seorangpun wakil rakyat, menyertai Perikatan pada 1972 dan meninggalkan BN pada Jun 2018.






