Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah koroner: Kematian model Belanda adalah nahas
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 12:12 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian model Belanda, Ivana Esther Robert Smit, yang dijumpai di sebuah kondominium di Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Disember 2017 sebagai satu kemalangan akibat “voluntary risk”.

Menurut laporan portal Free Malaysia Today, koroner, Mahyon Talib ketika membaca penghakiman bertulisnya, berkata tiada individu terbabit dalam kematian Smit.

“Itu sebabnya mahkamah mengklasifikasikan kes ini sebagai nahas,” katanya.

Ivana yang berusia 19 tahun ketika kejadian jatuh dari tingkat 20 dan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium tersebut dalam keadaan bogel.

Pada malam sebelum kejadian, dia dilaporkan telah keluar berhibur di pusat hiburan bersama pemilik kediaman di tingkat 20 itu yang merupakan seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya warga Kazakhstan.

Mereka kemudian melakukan hubungan seks dengan Ivana sebelum kematiannya tetapi menafikan membunuh wanita itu. Pasangan itu telah meninggalkan negara ini dan tidak boleh disapena menghadiri inkues.

Polis kemudian mengklasifikasikan semula kes itu selepas ayahnya Marcel Smit mengadu terdapat tanda lebam pada leher dan lengannya, dan mendakwa bahawa anaknya ditolak dari balkoni.

Mengulas kejadian itu, Mahyon berpendapat kecederaan Ivana sama dengan jatuh dari satu ketinggian.

“Saya bersetuju dengan Dr Frank yang kematian berlaku sebelum mayat ditemui di balkoni unit tingkat 6,” katanya merujuk Dr Frank van de Goot dari Belanda.

Beliau berkata, mayat mula mengalami kekejuran sekitar 10 atau 11 pagi hari itu.

Katanya, lebam di lengan dan belakang leher Ivana, serpihan botol kaca pecah di unit tingkat 20 dan DNA Alex Johnson ditemui di bawah kuku jari Ivana, mencadangkan kemungkin berlaku perbuatan khianat.

“Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku antara mereka bertiga – Alex, Luna dan Ivana – jadi, mahkamah memutuskan kematian itu sebagai nahas.”

Keputusan itu dibuat berdasarkan fakta itu dan mengikut peruntukan di bawah Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah. Tiada unsur jenayah ditemui dalam cara Smit mati.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan, punca kematian model Ivana Esther Robert Smit yang ditemui maut di balkoni unit kondominium CapSquare Residences di Kuala Lumpur dua tahun lalu, terjawab selepas Mahkamah Koroner hari ini mengklasifikasikan kematian itu disebabkan 'misadventure' (kemalangan).

Koroner Mahyon Talib yang mendengar prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Ivana, berkata mahkamah mendapati tiada sesiapa terlibat secara jenayah dalam kematian model berusia 19 tahun itu.

Katanya, 'misadventure' adalah kematian disebabkan kemalangan melalui perlakuan yang tidak melanggar undang-undang tanpa niat untuk menyebabkan sebarang kecelakaan.

Beliau berkata penemuan mahkamah berdasarkan keterangan-keterangan saksi termasuk pegawai penyiasat yang mana mahkamah mendapati berdasarkan pertimbangan kebarangkalian si mati telah menemui ajalnya akibat jatuh dari tempat tinggi.

Beliau juga bersetuju dengan ahli patologi dari Belanda, Dr Frank Van Der Goot bahawa kematian berlaku sebelum mayat ditemui di balkoni unit tingkat enam dan mayat mula mengalami kekejuran antara 10 atau 11 pagi, 7 Dis 2017.

"Tanda cengkaman lengan, trauma belakang kepala, botol pecah dan asid deosiribonukleik (DNA) Alex (Johnson) di bawah kuku Ivana Esther.

“Mahkamah mencadangkan terdapat kemungkinan beberapa pergelutan atau perkelahian berlaku antara Alex, Ivana dan Luna (Almaz) [Johnson dan Almaz, masing-masing dari Amerika Syarikat dan Kazakhstan, adalah pemilik kediaman di tingkat 20] sebelum kematian Ivana.

“Mahkamah juga tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku antara ketiga-tiga mereka. Justeru mahkamah memutuskan kematian Ivana sebagai misadventure," katanya.

Beliau berkata keputusan itu berdasarkan penemuan fakta dan peruntukan menurut Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah.

Inkues dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali N Joy Jothy manakala peguam Sankara Nair mewakili keluarga mangsa dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang inkues itu yang bermula pada 8 Ogos 2018.

Akhbar sebelum ini melaporkan mayat model itu yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol itu ditemukan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium di CapSquare Residences di Dang Wangi di Kuala Lumpur, dalam keadaan bogel pada 7 Dis 2017.

Difahamkan pada malam sebelum kejadian, mangsa telah keluar berhibur di pusat hiburan bersama Johnson dan Almaz.

Lihat Komen
ADS